KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd Isa Mohd Saidi menggesa parti itu menolak apa yang beliau namakan sebagai “gerakan kecil” yang didakwa masih terikat dengan budaya politik lama serta berkepentingan peribadi.
Beliau menegaskan, perjuangan parti tidak seharusnya diganggu oleh mana-mana pihak yang bergerak “di belakang tabir” sambil memainkan naratif kononnya mereka penyelamat parti.
“Kita semua tahu wujud satu kelompok yang cuba bergerak di belakang tabir… namun hakikatnya, kumpulan ini hanya muncul apabila ada ruang untuk kepentingan sendiri, dan menghilang ketika parti diuji,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, individu atau kumpulan tertentu tidak wajar menjadikan parti sebagai ruang untuk memulihkan imej peribadi mereka.
“Bersatu tidak dibina atas skandal…dan tidak akan berdiri dengan mereka yang masih membawa beban sejarah itu ke mana-mana,” katanya sambil menegaskan bahawa parti perlu dipimpin mereka yang “bersih, konsisten dan setia perjuangan.
Mohd Isa turut mengingatkan ahli-ahli agar tidak terpedaya dengan apa yang disifatkan sebagai gerakan “main belakang”, yang menurutnya boleh melemahkan parti.
“Kita bukan lagi parti yang mahu hidup merencana dalam gelap, tapi gerakan besar yang mahu mengembalikan maruah politik negara,” ujarnya.
Beliau berkata, masa depan Bersatu tidak boleh disandarkan kepada individu yang pernah mencalarkan maruah bangsa dan agama, sebaliknya harus dibina oleh mereka yang benar-benar layak membawa panji perjuangan.
Mohd Isa menyeru agar Bersatu membuka “halaman baharu” demi membina parti yang lebih kuat dan dihormati. – MalaysiaGazette
















