Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching bergambar bersama tetamu yang hadir pada Kempen Internet Selamat bersama Sekolah Kebangsaan Cina (SJKC) Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Negeri Selangor di , HGH Convention Centre, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 19 NOVEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Usaha kerajaan memperkukuh literasi digital dalam kalangan pelajar menunjukkan hasil yang signifikan apabila Kempen Internet Selamat (KIS) kini berjaya menembusi 7,899 sekolah di seluruh negara sejak dilaksanakan Januari lalu.

Pencapaian ini sekali gus menjadikan KIS sebagai antara program keselamatan digital paling meluas pernah dijalankan di sekolah-sekolah Malaysia.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, keberhasilan itu membuktikan pendekatan baharu yang lebih kreatif, interaktif dan bersifat menyeluruh berjaya menarik minat pelajar dan guru, di samping memberi pemahaman mendalam mengenai tingkah laku selamat ketika berada di alam digital.

Menurutnya, KIS bukan sekadar bentuk ceramah tradisional, tetapi diperkuatkan dengan aktiviti ‘hands-on’ iaitu permainan berasaskan pendidikan, simulasi risiko dalam talian dan modul berbeza mengikut peringkat umur.

Pendekatan seperti ini, katanya, adalah kunci mengapa program itu semakin diyakini sekolah.

“Internet adalah medium yang sangat berguna apabila digunakan dengan cara yang betul.

“Melalui KIS, kita tidak mengajar pelajar untuk takut kepada Internet, tetapi untuk memahami risikonya dan menggunakan teknologi secara beretika dan bertanggungjawab,” katanya ketika berucap pada program KIS bersama Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) peringkat Selangor dan Kuala Lumpur.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berucap pada Kempen Internet Selamat bersama Sekolah Kebangsaan Cina (SJKC) Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Negeri Selangor di , HGH Convention Centre, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 19 NOVEMBER 2025.

sekolah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah berjaya menyelesaikan modul KIS dalam satu pelaksanaan bersepadu.

Katanya, kolaborasi kerajaan–NGO seperti ini dapat meluaskan lagi program KIS dengan lebih cepat dan tersusun, selain memastikan seluruh rangkaian SJKC di dua negeri ini menerima akses kepada latihan keselamatan digital yang sama berkualiti.

Beliau menegaskan, perkembangan pesat penggunaan Internet dalam kalangan kanak-kanak dan remaja perlu disertai dengan pendidikan digital yang kukuh.

Ini kerana katanya ancaman keselamatan hari ini semakin kompleks dan membimbangkan. Di sinilah KIS memainkan peranan penting.

Dalam ucapannya, Nie Ching menyentuh statistik terkini yang menunjukkan peningkatan mendadak insiden buli siber dan kandungan memudaratkan.

Pada 2023, MCMC telah menerima 2,704 aduan, sebelum melonjak lebih empat kali ganda kepada 11,385 aduan pada 2024.

Tahun ini sahaja, hingga 1 November 2025, aduan meningkat hampir 3.3 kali ganda, mencecah 37,052 kes.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 28,394 kandungan buli siber telah diturunkan, jauh lebih tinggi berbanding keseluruhan tahun lalu.

Logo Kempen Internet Selamat di HGH Convention Centre, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 19 NOVEMBER 2025.

Jelasnya, trend itu menunjukkan ancaman digital berubah dengan pantas. Justeru, pendidikan dan pendedahan kepada risiko Internet perlu bersifat berterusan.

Logo Kempen Internet Selamat di HGH Convention Centre, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 19 NOVEMBER 2025.

“Peningkatan ini sangat membimbangkan. Ini mengesahkan bahawa literasi digital bukan lagi opsyen, tetapi satu keperluan mendesak.

“Sebab itu KIS diwujudkan bagi membantu pelajar, remaja dan ibu bapa untuk memahami dunia digital dengan lebih bijak,” katanya.

Beliau berkata, mesej utama KIS adalah mudah: Internet bukan musuh, sebaliknya ruang yang membuka peluang pembelajaran dan kreativiti, asalkan digunakan secara berhemah.

Namun penggunaan yang selamat hanya boleh dicapai jika wujud budaya keselamatan siber yang dijadikan tabiat, bukan pengetahuan bermusim.

Nie Ching berharap pelajar yang mengikuti modul KIS dapat bertindak sebagai duta keselamatan digital di sekolah masing-masing, manakala guru, ibu bapa serta ikon Kapten K-DAT yang dilantik menjadi ejen perubahan dalam menyebarkan nilai penggunaan Internet secara sihat.

“Inisiatif ini hanya dapat berjaya sepenuhnya melalui kerjasama semua pihak. Selaras dengan slogan kempen ini, ‘Internet Selamat Tanggungjawab Semua’, kita mahu keselamatan digital menjadi budaya nasional yang diamalkan setiap hari,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan komited meneruskan KIS pada tahun 2026 dengan perluasan ke lebih banyak sekolah dengan pelaksanaan modul yang lebih segar, relevan dan bersesuaian dengan ancaman semasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast