KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengeluarkan kompaun bernilai RM120 juta terhadap kesalahan membabitkan ubat tidak berdaftar menerusi tindakan penguatkuasaan bawah Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik (PKDK) 1984.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, ketika ini negara bukan sahaja berdepan penjualan ubat tidak sah malah muncul lambakan penggunaan media sosial untuk mempromosi ubat-ubatan serta penjualannya menggunakan platform Internet.
“Bagaimanapun, kita sudah melakukan sesi libat urus Bahagian Farmasi bersama platform e-dagang bagi menurunkan iklan-iklan ubat.
“Mereka dinasihat tidak menggunakan media sosial seperti Live TikTok untuk menjual atau pun mempromosikan ubat-ubatan terutama ubat yang boleh menarik perhatian dalam penurunan berat badan serta produk-produk kecantikan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hishammuddin Hussein (BN-Sembrong) berhubung langkah penguatkuasaan terkini dan tindakan tegas diambil, termasuk pemantauan e-dagang serta kerjasama antara agensi bagi memastikan kepentingan pengguna sentiasa terjamin dalam perkara itu.
Sementara itu, Lukanisman berkata, KKM telah melaksanakan beberapa langkah segera serta strategi jangka panjang bagi memastikan keterjaminan bekalan dan akses ubat mampu milik.
“Bagi langkah segera, KKM melakukan pemantauan stok ubat secara bersepadu melalui Sistem Maklumat Farmasi (Farmasi Information System) dengan notifikasi awal bagi mengelakkan kekurangan stok di fasiliti sekiranya berlaku gangguan pembekalan bawah konsesi logistik atau kontrak pusat.
“Selain itu, mekanisme perolehan alternatif turut dilaksanakan supaya rawatan pesakit tidak terjejas,” katanya.
Beliau menjawab soalan asal Hishammuddin mengenai langkah KKM untuk mengatasi kekurangan bekalan dan kenaikan harga ubat-ubatan asas termasuk bagi penyakit kronik serta strategi jangka panjang mengurangkan kebergantungan pada import dengan memperkukuhkan pengeluaran farmaseutikal tempatan dan memastikan akses ubat mampu milik untuk rakyat. – MalaysiaGazette
















