KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines dan Trip.Biz, cabang Business Travel Trip.com Group, menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) strategik untuk menyediakan penyelesaian perjalanan perniagaan yang dipertingatkan bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) merentasi pasaran perjalanan perniagaan utama di Asia, Eropah dan rantau-rantau lain di dunia.
Pemeteraian MoU ini menandakan titik permulaan kerjasama jangka panjang yang akan membolehkan pelanggan Trip.Biz mengakses dengan lebih mudah program MHcorporate kendalian Malaysia Airlines, sekali gus menjadikan Malaysia Airlines rakan kerjasama pilihan di platform tempahan global Trip.Biz.
Di bawah MOU ini, Malaysia Airlines bercadang untuk memberikan akses kepada Trip.Biz bagi menikmati tambang PKS di bawah program MHcorporate yang meliputi 25 pasaran dan lokasi IATA, tertakluk pada terma dan syarat yang berkenaan.
Kedua-dua belah pihak yang terlibat turut berhasrat untuk menjadikan Malaysia Airlines sebagai rakan penerbangan pilihan di platform Trip.Biz, dengan peluang untuk mencapai dan menarik pelanggan PKS di peringkat global.
Di samping itu, Trip.Biz akan menyokong program MHcorporate SME melalui aktiviti seperti menggalakkan penyertaan pelanggan serta meneroka kemungkinan penyepaduan antara API portal MHcorporate dengan kemudahan tempahan dalam talian (OBT) Trip.Biz, untuk meningkatkan lagi keupayaan akses dan kecekapan bagi pengembara perniagaan.
Ketua Pegawai Komersial Penerbangan dari Malaysia Aviation Group (MAG), Dersenish Aresandiran berkata, MOU ini mencerminkan komitmen syarikat tersebut untuk memudahkan perjalanan korporat dan memperkasakan PKS untuk meneroka peluang baharu.
“Trip.Biz ialah pemimpin industri dalam pengurusan perjalanan perniagaan, dan kami akan berganding bahu untuk meluaskan capaian meliputi 25 pasaran, menawarkan pengalaman tersendiri dan menyokong inisiatif bersama yang membantu para pelanggan kami berkembang maju,” katanya.
Sementara itu, Dr. Tao Song, Ketua Pegawai Eksekutif Trip.Biz berkata, pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan Malaysia Airlines, sebuah syarikat penerbangan yang memang terkenal dengan identiti Malaysian Hospitality dan rangkaian serantau yang luas.
“Kerjasama ini mencerminkan matlamat bersama kami untuk menyediakan penyelesaian perjalanan perniagaan yang lebih pintar, lebih cekap dan menjimatkan kos bagi PKS dalam usaha mereka mengembangkan sayap ke peringkat antarabangsa menerusi platform kami,” ujarnya.
Melalui gabungan rangkaian global dan kecemerlangan perkhidmatan pelanggan Malaysia Airlines dengan inovasi digital dan kepakaran perjalanan perniagaan Trip.Biz, kedua-dua pihak berusaha untuk mewujudkan ekosistem bertumpukan pelanggan yang lebih terhubung, yang menyokong semua saiz perniagaan dalam mencapai cita-cita pertumbuhan masing-masing. – MalaysiaGazette















