KUALA LUMPUR – Bahagian Hal Ehwal Undang‑Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) sedang melaksanakan kajian perbandingan berasaskan bukti terhadap model pelantikan kehakiman di negara lain seperti United Kingdom, Singapura, Australia dan India.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kajian itu dilaksanakan secara inklusif melalui sesi libat urus bersama Badan Kehakiman, Majlis Peguam Malaysia, Ahli-Ahli Parlimen daripada Blok Kerajaan dan Blok Pembangkang.
Turut terlibat adalah institusi pengajian tinggi, pakar Perlembagaan Persekutuan, organisasi masyarakat sivil serta dengan penglibatan pandangan awam.
“Pendekatan ini bertujuan memastikan proses pelantikan dilaksanakan dengan lebih telus, bebas dan selaras dengan prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan.
“Kerajaan Madani sebagai kerajaan yang sentiasa menghormati pemisahan kuasa antara badan legislatif, eksekutif dan badan kehakiman akan terus komited dalam memastikan bahawa pelantikan jawatan-jawatan penting negara termasuklah jawatan hakim mahkamah atasan dibuat berdasarkan Perlembagaan,” katanya dalam jawapan bertulis dipaparkan dalam laman sesawang Parlimen di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang meminta perdana menteri menyatakan adakah kerajaan bercadang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan untuk mereformasikan institusi kehakiman dalam soal perlantikan Ketua Hakim dan Hakim-Hakim Kanan supaya tidak berulang lagi kekecohan dalam perlantikan Ketua Hakim Negara yang berlaku pada Julai 2025 lalu. – MalaysiaGazette
















