KENYATAAN media Pemuda Pas Selangor berkenaan Belanjawan 2026 Selangor.

KUALA LUMPUR – Belanjawan Selangor 2026 tidak lebih daripada pentas retorik yang dihiasi nama `Schumpeter’, `Piketty’ dan `Umberto Eco’, tetapi kosong daripada penyelesaian yang mengisi perut rakyat.

Bendahari Pemuda Pas Selangor, Muhammad Farique Zubir Albakri berkata, selagi Kerajaan Negeri Selangor enggan mengakui dan menangani isu sebenar seperti harga barang, pendapatan, perumahan dan tadbir urus, Selangor tidak akan pernah mencapai status `juara’ seperti yang dibanggakan.

Dakwanya, Belanjawan Selangor hanya menonjolkan jurang ketara antara retorik kerajaan dan realiti ketika rakyat negeri itu bergelut setiap hari dengan harga barang yang melambung, pendapatan tidak mencukupi dan tekanan hidup semakin menghimpit.

“Selangor kini merekodkan inflasi 1.8 peratus, lebih tinggi daripada purata kebangsaan, dengan kenaikan harga makanan, minyak masak, sayur, ikan serta perkhidmatan harian yang semakin mahal sehingga ada kategori barangan meningkat hampir 50 peratus.

“Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dengan kadar lima hingga 10 peratus pula terus memburukkan harga barangan bukan keperluan asas.

“Ironinya, Kerajaan Selangor tidak membentangkan sebarang pelan konkrit untuk menurunkan harga atau meningkatkan kemampuan rakyat menghadapi lonjakan kos sara hidup,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Minggu lalu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari membentangkan Belanjawan Selangor 2026 dengan tema `Selangor Juara, Rakyat Sejahtera’ membabitkan peruntukan sebanyak RM3.23 bilion.

Sementara itu, Muhammad Farique Zubir turut mengingatkan, Selangor menjadi negeri tertinggi jumlah rakyat yang gagal membayar bil elektrik, menandakan isi rumah berada dalam tekanan kewangan yang kritikal.

Jelasnya, pendapatan sebenar rakyat merosot hampir RM3,000 akibat inflasi, kuasa beli jatuh, dan kemiskinan bandar semakin meningkat.

Dakwa beliau, tekanan hidup itu turut menyumbang kepada peningkatan masalah kesihatan mental, termasuk kemurungan yang semakin membimbangkan.

“Malangnya, Belanjawan Selangor 2026 terus mengabaikan semua faktor ini dan gagal mengemukakan strategi pemulihan yang menyentuh akar masalah,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast