JOHOR BAHRU – Pendirian bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Rafizi Ramli terhadap Perjanjian Timbal Balik Tarif (ART) yang berbeza dengan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini mencetus fenomena baharu hingga mewujud dua entiti dalam parti.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, perbezaan pendirian itu jelas mewujudkan garis pemisah antara Anwar sebagai Perdana Menteri memimpin Kerajaan Madani dengan Rafizi serta ramai ahli Parlimen senior PKR malah dilihat ‘menyelamatkan’ parti tersebut.
Jelasnya, perbezaan pendirian berkenaan bukan perkara kecil kerana melibatkan soal dasar negara, soal kemerdekaan dan kedaulatan negara yang merupakan teras asas dalam perjuangan PKR.
“Sekarang rakyat mulai nampak suatu realiti. Kerajaan Madani pimpinan Anwar dan PKR yang didukung oleh lebih sejuta anggota adalah dua entiti yang berbeza.
“Kerajaan Madani mungkin timbul atau tenggelam dalam Pilihan Raya Umum ke-16. Tetapi dengan perkembangan terbaru PKR dan fenomena Rafizi maka PKR mungkin akan terkesan sedikit bersifat sementara tetapi ia boleh cepat bangkit semula dengan lebih kuat meneruskan perjuangannya,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, perkembangan tersebut wajar diberi pujian dan kepimpinan PKR setakat ini amat bijaksana serta berhati-hati terutama sikap Anwar termasuk tiada tindakan dikenakan terhadap mereka yang tidak sehaluan dengan Presiden parti.
Beliau berpendapat, dengan wujudnya fenomena baharu di luar kerajaan itu, Rafizi masih sebagai seorang anggota PKR yang tetap setia dengan idealisme reformis dan jujur memihak kepada rakyat, bukannya golongan elitis kelas berkuasa.
“Maka Rafizi Ramli dan ahli-ahli Parlimen sependirian dengannya berupaya menjanjikan masa depan yang cerah untuk PKR di masa hadapan,” katanya.
Hassan mengakui ada hikmahnya Rafizi kalah dalam pemilihan PKR pada Mei lalu dan seterusnya keluar dari Kabinet kerajaan Persekutuan pimpinan Anwar.
“Yang mendapat rahmat daripada perkembangan tersebut tidak lain dan tidak bukan ialah PKR.
“Apabila Rafizi terus hidup dan berpolitik dengan aktif untuk menyumbangkan idea-ideanya yang segar dalam Parlimen dan dalam podcast dalam media sosial.
“Maka ia membantu menghidupkan terus harapan rakyat terhadap PKR sebagai sebuah parti progresif, reformis, pelbagai kaum dan parti yang inklusif sebenar untuk masa depan Malaysia,” ujarnya.
Pada 26 Oktober lalu perjanjian ART ditandatangani Anwar yang mewakili Malaysia dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump di Kuala Lumpur.
Perjanjian tersebut mendapat pelbagai kecaman serta tentangan dan ramai pihak melahirkan kebimbangan terutama kesannya terhadap kedaulatan, keselamatan dan ekonomi negara.
Pada 13 November lalu, tiga Ahli Parlimen kerajaan termasuk Rafizi (Pandan), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa) dan Wong Chen (Subang) menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dibentuk bagi menyiasat semua perkara berkaitan perjanjian ART.
Dalam kenyataan bersama, mereka berkata, siasatan itu khususnya mengenai perkara bahawa Malaysia telah ‘dipaksa’ untuk berunding dalam perjanjian perdagangan tersebut.- MalaysiaGazette
















