KUALA LUMPUR – Langkah Kerajaan Arab Saudi yang mengenakan beberapa syarat kesihatan baharu bagi musim Haji 1447H/2026M memerlukan Pengelola Jemaah Haji (PJH) berlesen dengan Tabung Haji (TH) untuk meningkatkan perkhidmatan masing-masing.
Menurut salah seorang pemain industrinya, Datuk Seri Mohd Khairi Mat Jahaya, ia menuntut TH dan pengendali jemaah haji swasta untuk membuat persediaan awal termasuk menjalinkan kerjasama dengan beberapa pusat perubatan di Arab Saudi.
“Kami sendiri menerusi MKM Travel telah memeterai kerjasama dengan 10 hospital swasta di Madinah dan Makkah bagi memastikan jemaah menerima pemeriksaan serta rawatan lebih sistematik.
“Setiap tahun kami menilai semula pendekatan dan strategi supaya seiring dengan keperluan semasa jemaah.
“Kami mahu jemaah menunaikan ibadah dengan hati yang tenang, tanpa dibebani oleh kerisauan mengenai urusan kesihatan, penginapan atau logistik,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, media melaporkan Lembaga Tabung Haji (LTH) melantik 31 syarikat pelancongan yang diberikan lesen rasmi sebagai PJH untuk menawarkan pakej haji bagi musim 1447H/2026M.
Ketua Jabatan Haji, Mohd Hisham Harun berkata, Jawatankuasa Urusan Haji menerima permohonan daripada 60 syarikat dan hanya 31 syarikat diluluskan berbanding 37 syarikat pada musim lepas.

Mohd Khairi berkata, selain aspek kesihatan, pihaknya turut memeterai perjanjian dengan hotel di Makkah dan Madinah dengan meletakkan jarak yang strategik dengan Masjid al-Haram bagi memudahkan pergerakan jemaah haji.
“Jarak penginapan dengan Masjid al-Haram ditetapkan tidak lebih 500 meter.
“Ia bagi memastikan jemaah lebih fokus, lebih tenang dan tidak terbeban dengan faktor fizikal,” katanya.
Mohd Khairi menambah, penggunaan sistem kecerdasan buatan (AI) turut digunakan untuk membantu jemaah memperoleh jawapan kepada persoalan ibadat haji dengan pantas.
“Teknologi AI dikenali Dr Kheir berperanan sebagai sahabat digital jemaah dengan keupayaan memberi jawapan pantas mengenai persoalan ibadah.
“Dr Kheir juga menyampaikan rujukan manasik digital, memandu jemaah pada waktu sebenar di Tanah Suci serta membantu ketika kecemasan dan keperluan segera,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan bakal jemaah supaya lebih berhati-hati memilih agensi pelancongan yang diiktiraf Tabung Haji bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
“Kami sering menerima laporan individu atau syarikat tidak berlesen menawarkan pakej dengan harga tidak munasabah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















