Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal dinaiki merempuh sebuah kereta di Jalan Felda Taib Andak, Kulai, malam tadi.

KULAI – Seorang remaja lelaki maut manakala rakan sebayanya cedera selepas motosikal dinaiki merempuh sebuah kereta di Jalan Felda Taib Andak menghala ke Jalan Kulai-Kota Tinggi di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menerima laporan kejadian itu pukul 9.40 malam melibatkan motosikal jenis Yamaha 135LC dan kereta Perodua Bezza.

“Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku semasa kereta tersebut dipandu seorang wanita tempatan berusia 34 tahun dari arah Felda Tain Andak menghala ke Jalan Kulai-Kota Tinggi.

“Kereta tersebut mengalami masalah kerosakan teknikal di bahagian stereng lalu hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, pada masa yang sama datang motosikal ditunggang dan dibonceng dua remaja lelaki kedua-duanya berusia 15 tahun tidak sempat mengelak dan merempuh bahagian sisi kiri kereta itu.

Menurutnya, akibat pelanggaran tersebut penunggang meninggal dunia di tempat kejadian manakala pembonceng dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di sini bagi rawatan lanjut.

Kes tersebut katanya, disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Seng Lee meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Ahmad Safuan Abu Naim 017-7573507 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kulai.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast