KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor telah menahan reman seorang pegawai penyiasat agensi penguat kuasa kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah daripada seorang individu sebagai balasan untuk menolong melepaskan abangnya daripada tindakan undang-undang melibatkan satu siasatan kes penyalahgunaan dadah.
Perintah reman selama tiga hari sehingga 22 November 2025 telah dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Shah Alam, Wan Noora Nisa Ngadirin selepas permohonan dibuat SPRM di mahkamah berkenaan pagi tadi.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an telah ditahan di pejabatnya di Shah Alam kira-kira 3.30 petang semalam.
“Suspek dipercayai telah meminta wang kira-kira RM3,000 daripada seorang individu yang datang berjumpa dengannya pada 18 November lalu susulan tangkapan melibatkan abangnya dalam satu kes penyalahgunaan dadah.
“Keesokannya, suspek telah mengarahkan individu terbabit untuk datang dengan membawa wang kira-kira RM1,500 serta mengambil abangnya yang ditahan sebelum itu,” kata sumber.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor , Mohd Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.- MalaysiaGazette
















