Aksi pelakon, Johan As'ari dan Zera Hariz melakukan persembahan pada Malam Pra-Tonton Teater Muzikal Uda dan Dara di Playhouse Theatre, The Campus Ampang, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 19 NOVEMBER 2025

KUALA LUMPUR – Istana Budaya menutup tirai persembahan 2025 dengan mementaskan karya agung Uda dan Dara pada 20 hingga 23 November ini di Playhouse Theatre, The Campus, Ampang.

Teater arahan Nik Muhamad Faiszulikwan dan Dr. Marlenny Deenerwan, dibantu Penolong Pengarah Aqil Rozai menyampaikan mesej kemanusiaan tentang cinta, maruah dan keikhlasan.

Kisah tragis antara Uda, pemuda dari keluarga sederhana dan Dara (Zera Hariz) berasal daripada keluarga bangsawan menceritakan tentang cinta sejati dan konflik darjat antara mereka.

Aksi barisan pelakon melakukan persembahan pada Malam Pra-Tonton Teater Muzikal Uda dan Dara di Playhouse Theatre, The Campus Ampang, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 19 NOVEMBER 2025

Cinta mereka yang tulus dipisahkan oleh darjat dan tekanan masyarakat, memaksa kedua-duanya memilih antara perasaan sendiri atau tuntutan tradisi.

Dalam perjuangan mengekalkan kasih, Uda berdepan cabaran hidup yang perit bersama keluarganya.

Beliau terpaksa merantau ke kota untuk mendapatkan wang demi meminang Dara sekali gus tanah pusaka keluarganya hampir dirampas oleh Alang Bakhil kerana tidak melunaskan hutang.

Dara pula terkurung dalam dunia bangsawan yang penuh batasan.

Ibunya enggan menerima pinanggan Uda atas sebab harta, walaupun jiwanya meronta untuk memilih cintanya sendiri.

Aksi pelakon, Zera Hariz melakukan persembahan pada Malam Pra-Tonton Teater Muzikal Uda dan Dara di Playhouse Theatre, The Campus Ampang, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 19 NOVEMBER 2025

Pementasan Uda dan Dara kali ini menampilkan barisan pelakon tempatan yang berpengalaman.

Johan As’ari menggalas peranan utama sebagai Uda, manakala Dara dilakonkan oleh Zera Hariz, yang memberikan keserasian kukuh dalam menghidupkan kisah cinta klasik ini.

Watak ibu Uda lakonan Farah Ahmad turut menjadi tumpuan kerana penghayatannya yang begitu mendalam sehingga mampu membuat penonton menitiskan air mata.

Jay Iswazir pula membawa watak Alang Bakhil, karakter antagonis utama yang mewarnai konflik cerita.

Aksi barisan pelakon melakukan persembahan pada Malam Pra-Tonton Teater Muzikal Uda dan Dara di Playhouse Theatre, The Campus Ampang, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 19 NOVEMBER 2025

Pelakon berbakat Amerul Affendi melakonkan watak Utih iaitu perantau yang berfalsafah tinggi.

Sementara itu , watak Pak Long dilakonkan oleh Azman Hassan, dan watak Mak Long pula dibawakan oleh Sara Sulaiman melengkapkan teater ini.

Pengarah Artistik, Tari dan Muzik iaitu Irwan Ismadi Shahrim, Sharifah Raha Syed Mustafa dan Nik Nizam Jaafar berkata gabungan tari dan muzik tradisional Melayu bersama sentuhan muzikal moden dalam teater ini telah menyuntik kesan segar.

“Sebanyak 14 lagu baharu dicipta khusus untuk teater ini dengan iringan lima pemuzik secara langsung.” katanya dalam kenyataan.

Pementasan kontemporari ini tetap mengekalkan nilai budaya Melayu yang menjadi kekuatan karya asal nukilan Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Usman Awang.

Pementasan ini merupakan usaha memartabatkan karya klasik Melayu melalui Program Memartabatkan Bahasa Karya Agung di bawah Insentif Belanjawan Madani 2025.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui media sosial dan portal rasmi Istana Budaya atau menghubungi Unit Perhubungan Awam. – Malaysiagazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast