Orang kurang upaya, Sat Tu Zet membuat kerja dengan membantu pemandu van ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Kota Kinabalu, Sabah. Foto FAREEZ FADZIL, 20 NOVEMBER 2025

KOTA KINABALU – Seperti bait-bait lagu yang mengiris jiwa, ‘tidak ku pinta lahir ke dunia, tidak ku duga cacat begini…’ begitulah takdir kehidupan Sattuzet Tampang.

Lelaki berusia 44 tahun ini diuji dengan hebat, dilahirkan tanpa kedua-dua belah tangan.

Namun, ujian fizikal itu tidak pernah melunturkan martabatnya.

Di celah hiruk-pikuk kota, inilah medan juangnya.

Tugas Sattuzet berdiri tegak di hadapan Kompleks Membeli Belah One Borneo.

Adakala ke depan dan kembali berdekatan van untuk memanggil penumpang untuk menaiki kenderaan persendirian yang berfungsi seperti ‘kereta sapu’ menuju ke Sepanggar yang jaraknya kira-kira tiga kilometer dari One Borneo.

Orang kurang upaya, Sat Tu Zet membuat kerja dengan membantu pemandu van ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Kota Kinabalu, Sabah. Foto FAREEZ FADZIL, 20 NOVEMBER 2025

Kerjanya hanya memujuk, menggamit, dan memastikan van itu penuh.

Sebuah pekerjaan yang jauh dari layak, jauh dari selesa, dan jauh dari janji rezeki yang berlimpah.

“Orang yang naik van itu bayar RM2, tapi kena tunggu penuh baru jalan, nak tunggu penuh tu ada masa cepat, ada masa lambat.

“Aku akan jerit-jerit panggil orang, bila van jalan dapatlah aku upah RM1,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Rutin harian Sattuzet bermula setiap hari jam 11 pagi di hadapan Kompleks Membeli Belah One Borneo, dan beliau hanya akan pulang kira-kira jam 6 petang.

“Dulu aku kerja di stesen bas, kerja macm ni juga, sekarang aku di sini.

“Dari rumah, aku naik bas dari rumah, lepas tu tukar bas datang sini.

“Keluar rumah jam 8 pagi, sampai sini jam 10. Kalau aku tak kerja ni, aku tak tahu nak kerja apa lagi.

“Aku tinggal dengan kakak aku, dia pun kerja juga,” katanya.

Berdiri selama tujuh jam dengan upah yang sangat kecil, tetapi sangat besar maknanya.

“Aku tak makan di sini sebab kakiku kotor, aku akan makan di rumah saja.

Orang kurang upaya, Sat Tu Zet membuat kerja dengan membantu pemandu van ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Kota Kinabalu, Sabah. Foto FAREEZ FADZIL, 20 NOVEMBER 2025

“Nak minum pun aku kena minta tolong kawan, kalau dia tak ada, aku bawa botol air ni ke kedai depan tu, minta orang bukakan dan aku minum pakai straw,” katanya yang tidak lekang dengan senyuman.

Dia sudah berdamai dengan takdir hidupnya. Dia tahu setiap manusia diuji dengan cara yang berbeza.

“Aku bahagia selagi tak minta dari orang.

“Aku mahu sihat supaya boleh kerja, kalau sakit susah nanti kakak aku,” katanya lagi.

Berkongsi cerita Sattuzet juga pernah dihina hanya kekurangan fizikalnya.

“Orang tengok aku macam aku ni orang jahat.

“Mungkin sebab aku miskin dan macam ni kan, tapi tak apalah aku ok saja,” katanya.

Tidak betah dengan apapun pandangan orang, Satuzzet tidak pernah patah semangat.

Orang kurang upaya, Sat Tu Zet ketika ditemubual di Kota Kinabalu, Sabah. Foto FAREEZ FADZIL, 20 NOVEMBER 2025

Berbekalkan sekeping kad pengenalan diri dari Kalimantan Utara, syarat untuk terus bernafas di bumi Sabah ini adalah satu, berkelakuan baik. Namun, bagi Sattuzet, ia bukan sekadar syarat. Ia adalah prinsip hidup.

“Dengan kad ni aku boleh bergerak kerana inilah pengenalan diri aku dan aku tak boleh buat jahat,” ceritanya.

Walau diuji dengan kekurangan diri yang tidak terperi, Sattuzet teguh berpegang pada keyakinan tidak akan sesekali meminta-minta.

“Aku akan usaha kerja selagi sihat, tak perlu minta-minta pada orang.

“Ada juga yang nak tolong, aku tolak sebab aku masih mampu bekerja, kasilah pada orang lain,” katanya lagi.

Kerana dalam hati yang diuji, Sattuzet menyimpan azimatnya: Bekerjalah dengan ikhlas, Tuhan pasti membalas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast