KUALA LUMPUR – Datuk Dr Ibrahim Ali memberi amaran, negara sedang berdepan keadaan “retak dari dalam” yang didakwa berpunca daripada perkembangan politik di Sabah dan Sarawak serta keputusan-keputusan kerajaan Persekutuan yang disifatkannya sebagai menghakis asas Persekutuan Malaysia.
Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) itu mendakwa, wujud kecenderungan slogan berasaskan negeri seperti “Sabah First” dan “Sarawak First” yang menurutnya membawa risiko kepada keutuhan negara.
Menurut Ibrahim, penggunaan slogan tersebut bukan sekadar ungkapan semangat negeri, sebaliknya dianggapnya sebagai petanda awal keretakan struktur negara.
“Hari ini Sabah, esok Sarawak, lusa negeri lain. Jika semangat kenegerian ini melampaui semangat kebangsaan, ia boleh dianggap sebagai tindakan yang menggugat keutuhan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan, bahawa Malaysia kini berada dalam keadaan “seperti telur di hujung tanduk” jika trend tersebut tidak dibendung.
Mengulas kempen Pilihan Raya Negeri Sabah, Ibrahim mendakwa, wujud retorik anti Semenanjung dan tuntutan politik yang menurutnya boleh mengundang ketegangan antara wilayah.
Katanya, kempen “Sabah First” yang dimainkan beberapa pihak berpotensi memberi kesan jangka panjang terhadap perpaduan nasional.
Ibrahim turut menolak naratif bahawa, Sabah dan Sarawak kekal miskin kerana kegagalan kerajaan Persekutuan.
Sebaliknya, beliau mendakwa masalah tersebut berpunca daripada kepimpinan negeri masing-masing.
“Yang miskinkan Sabah dan Sarawak bukan Kuala Lumpur, tetapi elit politik yang memerintah sejak puluhan tahun,” katanya.
Dalam pada itu, Ibrahim menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai gagal mengurus hubungan Persekutuan-Negeri dan “menggadaikan dasar negara” demi kelangsungan politik.
Beliau mendakwa, tindakan kerajaan memberi ruang autonomi lebih luas kepada Sabah dan Sarawak boleh membawa Malaysia menuju model “confederation” yang akhirnya menyebabkan perpecahan.
“PMX tidak membina negara. Serah kuasa untuk menjaga kerusi. Ini membuka ruang kepada keretakan lebih besar,” katanya.
Ibrahim memberi amaran bahawa jika trend tuntutan autonomi negeri terus berkembang, Malaysia boleh menjadi “13 negara kecil” dalam tempoh beberapa tahun.
“Apa tinggal untuk negara? bendera? lagu? sejarah?” katanya sambil menyifatkan senario itu sebagai “bungkai negara yang pernah wujud.”
Beliau menegaskan, Pilihan Raya Negeri Sabah kali ini bukan sekadar pemilihan kerajaan negeri tetapi “seakan referendum terhadap kewujudan Malaysia.”
Ibrahim menyeru agar semua pihak mengetepikan slogan berasaskan negeri serta mengembalikan prinsip “Malaysia First” bagi menjamin masa depan Persekutuan.
“Jika kita terus diam hari ini, esok jangan menyesal,” katanya. – MalaysiaGazette
















