KOTA KINABALU – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N10 Usukan, Datuk Seri Salleh Said Keruak menyelar gelombang pemimpin politik daripada pelbagai parti yang didakwa tiba-tiba menjadi hero dalam memperjuangkan hak-hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata, perjuangan MA63 sepatutnya menjadi usaha yang berterusan, telus dan bukan sekadar retorik kempen untuk meraih undi pada saat-saat akhir Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Kali Ke-17.
“Waktu ini, semua nak jadi hero MA63, setiap kali pilihan raya, isu ini pasti akan diangkat, sedangkan yang betul-betul membawa isu ini adalah rakyat Sabah sendiri.
“Saya pernah bangkitkan isu ini ketika dalam Dewan Undangan Negeri yang mana tidak harus dipolitikkan.
“Seharusnya ada satu jawatankuasa yang ada semua parti politik di dalamnya untuk mencari jalan menyelesaikan masalah ini.
“Jangan ingat kita sahaja perjuangkan hak 40 peratus itu,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Beliau berkata, tidak ada beza semua parti-parti ini dalam membawa perjuangan yang sama.
“Saya ini orang Sabah, IC saya H, sama juga dengan mereka yang kata parti tempatan.
“Kita sama-sama berdaftar di RoS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan), UMNO pun bawah RoS, Warisan pun RoS.
“Berbeza hanyalah di mana kita bergerak. UMNO di Semenanjung, Warisan pun suatu ketika bergerak di Semenanjung juga, UPKO pun di Semenanjung,” katanya.
Jelas Salleh, parti ini bukan segala-galanya dan tidak wajar semua taksub.
“Siapa kata kalau sokogan parti tempatan selesai masalah?
“Mereka sesama sendiri pun bergaduh, tiada muafakat. Kita dalam BN sangat terbuka.
“BN ada track record, ada universiti, ada jalan. Dulu tak ada masalah lampu kejap ada kejap tidak,” katanya.
Tambah Salleh, rakyat Sabah boleh menilai prestasi dan tahap keseriusan parti yang membawa isu ini.
“BN tidak akan beri harapan kosong, jika boleh atau tidak boleh, tanpa berahsia.
“Persoalannya, sejauh mana keikhlasan dan komitmen parti-parti politik ini untuk melaksanakan MA63 apabila mereka sudah memegang kuasa?” katanya.
Bekas Ketua Menteri Sabah itu dengan nada sinis berkata, perjuangan hak-hak negeri, termasuk isu agihan hasil dan kawal selia undang-undang, memerlukan kepimpinan yang matang, berpengalaman, dan mempunyai hubungan konstruktif dengan Kerajaan Persekutuan, bukan sekadar lantang bersuara di media sosial.
“Nilailah parti-parti politik berdasarkan rekod perkhidmatan dan pencapaian nyata dalam tempoh mereka memegang jawatan, dan bukannya terpukau dengan janji-janji yang mengagungkan MA63 semasa musim kempen.
“Rakyat Sabah kini semakin bijak. Kita mahu melihat hasil, bukan sekadar perdebatan tentang MA63.
“Siapa yang benar-benar boleh membawa pulang hak Sabah dalam bentuk peruntukan, projek, dan autonomi, itulah yang perlu diundi,” katanya.
Salleh turut merujuk kepada beberapa pemimpin pembangkang dan kerajaan negeri sedia ada yang kini giat menggunakan isu MA63 sebagai senjata utama mereka bagi menambat hati pengundi menjelang hari pembuangan undi 29 November ini. -MalaysiaGazette















