Calon Pakatan Harapan (PH) N.26 Moyog, Remysta Jimmy Taylor (kanan) bermesra dengan peniaga tempatan sambil diiringi Naib Presiden PKR, Datuk Seri R Ramanan sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 di Tamu Desa Babagon, Penampang. Foto FAREEZ FADZIL, 21 NOVEMBER 2025.

PENAMPANG – Mayog perlu diberi penekanan berkaitan hab pelancongan agar dapat menjana ekonomi setempat.

Calon Pakatan Harapan (PH) untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.26 Moyog, Remysta Jimmy Taylor berkata, agenda ekonomi itu berfokuskan komuniti dan beriltizam menjadikan Moyog sebagai hub pelancongan desa yang mapan untuk memberi manfaat langsung kepada penduduk kampung.

“Ia haruslah teratur dan sistematik dan secara tidak langsung dapat dapat mengurangkan kadar pengangguran.

“Perkara ini ada dalam salah satu resolusi Moyog di mana saya mahu kawasan tempat membesar ini mendapat perhatian,” katanya ketika ditemui di program walkabout di Tamu Desa Babagon, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kebanyakan aktiviti penduduk Moyog berkisar di sekeliling mereka seperti tanaman padi bukit dan juga rumah inap.

“Ini semua dapat menjana ekonomi setempat dan jika tidak dibantu dengan betul, macam mana mereka nak mulakan.

“Saya juga mahu mewujudkan ekosistem pelancongan yang dikendalikan oleh orang kampung sendiri,” katanya.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Naib Presiden PKR, Datuk Seri R Ramanan (tengah) mengiringi calon Pakatan Harapan (PH) N.26 Moyog, Remysta Jimmy Taylor (kiri) bermesra dengan peniaga tempatan sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 di Tamu Desa Babagon, Penampang. Foto FAREEZ FADZIL, 21 NOVEMBER 2025.

Dalam pada itu ketika ditanya mengenai pertembungan 12 penjuru, Remysta dilihat yakin dapat memikat hati pengundi di Moyog.

“Saya yakin dengan pengundi di sini, selain jentera PH yang banyak membantu sejak awal hingga ke saat ini,” katanya.

Ditanya siapakah saingan paling dekat, Remysta yakin hanya dia terbaik.

“Saya rasa tiadalah,” katanya ringkas.

DUN Moyog menyaksikan pertembungan 12 penjuru, antara lain membabitkan Joeynodd Aiko Ronald C Bansin dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Selain itu, turut bertanding adalah Naib Presiden WARISAN, Terence Siambun; Francis Mojikon (PN); Richard Ronald Dompok (PKS); Timbalan Presiden (UPKO), Donald Peter Mojuntin; Joseph Suleiman (STAR Sabah) dan Walter Norbert Johnny (PBK); Cleftus Stephen Spine (PIS), Mckery Victor Ninin (KDM), Peter Maurice Lidadun dan Ricky Richard masing-masing adalah BEBAS.

Dalam sibuk berkempen, Remysta turut mengajak orang ramai untuk bersama-samanya di Konsert Mega Remysta HARAPAN akan diadakan pada 25 November 2025.

“Konsert ini akan bermula pada jam 8 malam hingga 10 malam
bertempat di Buhavan Square, Pekan Donggongon.

“Saya jemput semua hadir, ya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast