KUALA LUMPUR – Sabah hari ini tidak memerlukan pemimpin yang melompat mencari keuntungan politik, tetapi pemimpin yang berani tetap di landasan asal walau arus menolak.
Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata, Sabah hari ini juga memerlukan pemimpin yang memahami bahawa mandat rakyat bukan tiket sementara, tetapi amanah yang perlu dijunjung dengan integriti dan istiqamah.
Tegas Nurulhidayah yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bagan Datuk, Sabah layak dipimpin oleh mereka yang tidak goyah walau badai datang, kerana negeri itu terlalu berharga untuk dipertaruhkan demi kepentingan peribadi.
“Kita harus kembali kepada nilai jati diri perjuangan, bahawa politik bukan soal jawatan yang disandang, tetapi sejauh mana kita kekal setia kepada prinsip yang kita laungkan.
“Kesetiaan bukan kepada individu, tetapi kepada rakyat.
“Kesetiaan bukan kepada kedudukan, tetapi kepada perjuangan.
“Kesetiaan bukan ketika senang, tetapi ketika diuji.
“Semoga episod lalu menjadi cermin untuk masa hadapan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, menurut Nurulhidayah, Sabah pernah dikenali sebagai sebuah negeri yang melahirkan barisan pemimpin hebat di bawah panji UMNO.
Ujarnya, nama-nama besar yang menjadi tonggak kepimpinan bukan sahaja dihormati, bahkan menjadi simbol kestabilan politik dan pembangunan rakyat.
Kata beliau, UMNO ketika itu bukan sekadar sebuah parti, sebaliknya wadah perjuangan yang mengikat kesetiaan, membentuk dasar serta memperjuangkan suara rakyat Sabah di peringkat nasional.
Namun, tambahnya, selepas tsunami politik 2018 melanda negara, berlaku episod yang mengubah landskap politik Sabah, apabila ramai tokoh yang dahulu menjadi wajah perjuangan berubah haluan.
“Ada yang meninggalkan parti, ada yang menubuhkan entiti baharu, dan ada yang memilih kepentingan sementara daripada kesetiaan terhadap mandat rakyat.
“Fenomena lompat parti ini bukan sekadar perubahan logo atau warna bendera, ia menimbulkan persoalan asas yang lebih besar iaitu, apakah makna sebenar perjuangan?
“Dan apakah nilai kesetiaan apabila kuasa berubah tangan?” katanya.
Tambah Nurulhidayah, rakyat tidak hanya mahukan pemimpin yang petah berkata-kata di pentas atau hadir ketika sorakan memuncak.
Sebaliknya, kata beliau, rakyat perlukan pemimpin yang teguh berdiri ketika badai tiba, bukan yang melarikan diri ketika ujian melanda.
Ini kerana, tegasnya, perjuangan bukan diukur ketika semuanya mudah, tetapi ketika pilihan yang sukar perlu dibuat. – MalaysiaGazette
















