KUALA LUMPUR – Integriti menjadi asas penting dalam memastikan keselamatan dan pertahanan negara terus terjamin, selain menambah baik tadbir urus sektor awam dan ketenteraan.
Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur, Mohamad Zakkuan Talib berkata, usaha mengekalkan tahap keselamatan negara memerlukan komitmen serta kejujuran yang tinggi daripada semua pihak.

“Tanpa komitmen serta iktikad yang benar dan jujur adalah sukar untuk menjamin tahap pertahanan dan keamanan negara dapat dikekalkan,” katanya pada Majlis Kunjung Hormat Provos Marsyal Tentera Darat di pejabat SPRM Kuala Lumpur semalam.
Beliau turut menyatakan penghargaan terhadap keterbukaan dan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya Provos Marsyal Tentera Darat dalam memperkukuh integriti serta memastikan pengurusan tadbir urus yang baik.
“Segala usaha dan inisiatif yang diberikan oleh ATM membuktikan mereka sentiasa berusaha memastikan tahap integriti dan tadbir urus yang baik,” katanya.
SPRM Kuala Lumpur juga menyatakan kesediaan untuk meneruskan kerjasama strategik dengan Provos Marsyal Tentera Darat dan Jabatan Siasatan Jenayah Tentera Darat menerusi pelbagai inisiatif meliputi operasi, pencegahan dan pendidikan.
Sementara itu, Provos Marsyal Tentera Darat, Brig Jen Nozri Senawi berkata, kunjungan itu bertujuan mengukuhkan hubungan dua hala dan meningkatkan kefahaman warga ATM mengenai risiko dan pencegahan rasuah.
SPRM turut menyeru ATM menyokong pelaksanaan National Anti-Corruption Strategy (NACS) dan Program Keep Malaysia Clean bagi membantu negara mencapai sasaran kedudukan ke-25 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang 2033. – MalaysiaGazette
















