KUANTAN – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) meneroka peluang kolaborasi strategik dengan memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan dua industri berkaitan aeroangkasa dan rangkaian teknologi AI dan Mobiliti sempena Dubai Airshow 2025 yang berlangsung di Dubai World Central (DWC) .
Menurut naib canselornya, Prof Dr. Yatimah Alias, kolaborasi itu merangkumi pembangunan platform autonomous, pusat data serta inisiatif bandar masa depan.
“Kerjasama ini juga melibatkan usaha ke arah penubuhan Venture Studio atau Versus pertama di Malaysia yang bakal menjadi pusat inovasi dan pengkomersialan untuk melahirkan syarikat pemula dalam bidang AI, sistem autonomous dan teknologi mobiliti,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, usaha yang sama turut disokong oleh endowmen PAC serta rakan strategik yang lain bagi memperkasa bakat tempatan dan memperkukuh laluan penyelidikan dan pembangunan.
Kolaborasi melibatkan UMPSA dengan Pahang Aerospace City Development Berhad (PAC) dan K2 yang menyaksikan Naib Canselor UMPSA menandatangani MoU dengan Ketua Pegawai Eksekutif PAC, Profesor Adjung Muhamad Nurazmi Abas dan Pengerusi K2, Waleed Alblooshi.
UMPSA juga menandatangani MoU bersama syarikat Pen Aviation yang diwakili oleh Pengarah Urusan, Mr. Jean-Bernard Boura bagi meneroka integrasi teknologi propulsi hibrid-elektrik ke dalam aplikasi penerbangan serantau.
Manakala kolaborasi dua lagi rakan strategik baharu melibatkan pihak Borneo Coffee yang diwakili oleh Mr Adrain Jerome dan Oriental Spaceport yang diwakili oleh Datuk Sri Siaw Swee Hin.
Penglibatan UMPSA bakal mengeratkan lagi hubungan baik yang sedia terjalin di samping mengukuhkan diplomasi serantau antara Malaysia dan UAE.
Dubai Airshow 2025 merupakan salah satu acara pameran aeroangkasa dan pertahanan terbesar di dunia yang mempamerkan kepelbagaian produk, rangkaian teknologi dan perkhidmatan yang inovatif dari pelbagai pemain industri dari serata pelusuk dunia. – MalaysiaGazette
















