KUALA LUMPUR – Op Sohor yang membabitkan sindiket penyeludupan barangan larangan seperti dadah dan rokok tiada kaitan dengan persaraan dua pemimpin atasan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dan memaklumkan siasatan kes terbabit masih berjalan dan ada kes sudah dituduh sebelum ini.
“Persaraan kedua-dua mereka tiada kaitan atau kena mengena dengan siasatan Op Sohor. Kita (SPRM) juga tiada maklumat berkaitan persaraan mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan persaraaan Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaafar dan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Razali Alias, tiada kaitan dengan siasatan Op Sohor.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah portal yang mengaitkan dua pengurusan tertinggi ATM dengan penahanan 10 individu termasuk pegawai tentera disyaki terbabit kes penyeludupan dadah pada 10 Ogos lalu.
Mohamed Khaled turut mengesahkan kedua-dua mereka akan bersara pada umur 60 tahun mengikut tarikh persaraan wajib masing-masing seperti biasa tahun hadapan.
Menurut sumber rasmi, Mohd Nizam dijadual mula bercuti 1 Januari 2026 sebelum bersara wajib pada Ogos, manakala Mohd Razali pada Disember 2026. – MalaysiaGazette
















