KUALA LUMPUR – Pelakon, Azhar Sulaiman mengakui sedih melihat apa yang dihadapi rakyat Malaysia berkaitan kes tujuh pemain warisan yang didakwa didaftarkan dengan dokumen palsu oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA)Malah dia juga pelik kerana masih tiada pihak yang mahu mengaku bersalah dalam hal tersebut.
“Behar (abang Azhar) sedih seluruh rakyat Malaysia harus hadap, dimalukan dan diperlekehkan begini pasal satu dua orang punya kerja.
“Kita nak tunggu sampai kesemua 7 player’s kena expose dulu ke baru nak angkat tangan mengaku bersalah?
“1MDB = FAM Fiasco = National Embarrassment,” tulis di Facebook hari ini.
Awal bulan ini, hukuman yang dikenakan FIFA ke atas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya tidak berubah.Ia selepas Jawatankuasa Rayuan FIFA menolak rayuan yang dikemukakan FAM dan tujuh pemain terbabit berhubung kesalahan pemalsuan dokumen.
Dalam kenyataan FIFA, badan induk itu memaklumkan rayuan FAM serta tujuh pemain terbabit ditolak sepenuhnya selepas meneliti penghujahan dan prosiding pendengaran yang dijalankan.
Ia bermakna FAM diperintahkan untuk membayar denda sebanyak CHF 350,000 (RM1.8 juta) kepada FIFA seperti yang diputuskan Jawatankuasa Tatatertib FIFA sebelum ini.
Pemain terbabit iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garcas, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano pula digantung 12 bulan selain masing-masing diperintahkan untuk membayar denda sebanyak CHF 2,000 (RM10,411) kepada FIFA.
Sementara itu, lima pasport yang diberikan kepada pemain yang terbabit dengan pemalsuan dokumen diluluskan dengan segera iaitu pada hari permohonan mereka dikemukakan untuk mendapatkan kerakyatan Malaysia.
Perkara itu didedahkan FIFA menerusi alasan penuh keputusan Jawatankuasa Rayuan setebal 64 muka surat susulan daripada keputusan jawatankuasa berkenaan pada 3 November lalu yang menolak rayuan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain terbabit.
Pada muka surat tujuh alasan penuh itu, FIFA menyertakan tarikh di mana tujuh pemain terbabit mengemukakan permohonan bagi mendapatkan kewarganegaraan Malaysia iaitu pada Mac dan juga Jun lalu.
“Permohonan Gabriel Palmero bertarikh 17 Mac sementara Hector Hevel pula pada 18 Mac. Permohonan Facundo Garces pula bertarikh 1 Jun.
“Sementara permohonan daripada Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo dan Jon Irazabal pula bertarikh 3 Jun,” kata FIFA.
Namun pada muka surat lapan, FIFA mendedahkan tarikh di mana tujuh pemain itu menerima pasport Malaysia sekali gus melayakkan mereka bergelar warga negara Malaysia.
Ajaibnya, permohonan Hevel, Holgado, Machuca, Figueiredo dan Irazabal diluluskan pada hari yang sama FIFA mendedahkan bahawa permohonan pasport Malaysia dikemukakan.
Hevel mendapat pasport bertarikh 18 Mac lalu manakala Holgado, Machuca, Figueiredo dan Irazabal mendapat pasport dengan tarikh 3 Jun lalu.
Palmero mendapat pasport sehari selepas permohonannya iaitu pada 18 Mac lalu manakala Garces terpaksa menunggu dua hari apabila pasportnya diluluskan pada 3 Jun lalu. – MalaysiaGazette















