KUALA LUMPUR – Azzuha Group Travel & Tours Sdn. Bhd. (Azzuha) terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju industri haji dan umrah apabila memeterai satu perjanjian kerjasama strategik bersama rangkaian hotel premium di Tanah Suci bagi persiapan musim 1447H dan 1448H.
Antara hotel yang telah disahkan untuk musim akan datang termasuk Al Makarem Ajyad Hotel, Royale Orchid Al Safwah Hotel, Al Jazirat Nouran Hotel, Al Muthmirat Nouran Hotel (Dar Al Hamd by Azzuha), Al Anwar Movenpick Al Madinah, Saja Al Madinah dan Shohada Al Ajyad.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Azzuha Group Travel & Tours, Abdul Malik Abdul Raman, kesemua hotel itu melalui proses penilaian ketat bagi menjamin pengalaman menginap yang selesa, mudah dan menepati keperluan ibadah.
Beliau berkata, melalui kerjasama strategik tersebut, Azzuha mengukuhkan lagi struktur operasi dengan menyediakan rangkaian penginapan eksklusif bagi memastikan keselesaan penuh sepanjang berada di Tanah Suci.
Jemaah bakal menginap di hotel-hotel premium yang dipilih secara khusus berdasarkan jarak strategik, kemudahan moden dan tahap keselesaan yang memenuhi standard Azzuha.
“Untuk musim haji 1447H dan 1448H, kami boleh menegaskan bahawa Azzuha sudah benar-benar bersedia dari segi hotel, logistik, latihan petugas, sistem operasi dan sokongan di Tanah Suci semuanya disusun rapi lebih awal.
“Fokus kami adalah memastikan setiap jemaah hanya perlu hadir dengan ketenangan jiwa untuk beribadah dan merasai pengalaman yang benar-benar istimewa.
“Nilai tambah seperti ini adalah sebahagian daripada usaha kami memastikan mereka berangkat ke Tanah Suci dengan penuh keyakinan dan dihargai sebagai tetamu Allah,” katanya lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Majlis pemeteraian kerjasama itu berlangsung di Jeddah Superdome, Arab Saudi baru-baru ini sekali gus menandakan komitmen awal Azzuha untuk memastikan setiap jemaah menerima pengalaman ibadah bertaraf eksklusif dan terancang.
Azzuha juga muncul sebagai satu-satunya agensi pelancongan yang menerima Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Malaysia (MEBA) Edisi ke-8 menerusi kategori Kecemerlangan Dalam Perkhidmatan Pelancongan sekali lagi membuktikan keupayaannya dalam mengekalkan standard tertinggi dalam pengurusan Haji dan Umrah.
Mengulas lanjut, Abdul Malik memberitahu, pengiktirafan MEBA menjadi pemangkin besar buat syarikat untuk terus memperhalusi dan meningkatkan sistem operasi.
“Pengiktirafan ini membuktikan bahawa Azzuha komited memastikan setiap perkhidmatan yang kami tawarkan mencapai standard terbaik industri dan bukan sekadar penghargaan tetapi satu amanah besar untuk kami terus menjaga kualiti dan integriti dalam menguruskan ibadah para jemaah.
“Pada masa sama, ia mengangkat reputasi Azzuha sebagai organisasi yang bukan sahaja konsisten tetapi juga telus dan berwibawa dalam memberikan perkhidmatan berkualiti kepada para jemaah,” katanya. – MalaysiaGazette
















