KUALA LUMPUR – Tiada angin tiada ribut, penyampai radio Gegar, Fizie Roslan dan pengasas pengasas produk EnerVast iaitu Dr Afif Mohd Ridzwan kini dikatakan ‘perang dingin’ selepas berlaku perselisihan faham gara-gara bisnes mereka berdepan kerugian.
Ia berpunca selepas Fizie yang juga duta produk kini tidak lagi membuat sesi langsung bersama dalam media sosial seperti mana di awal pelancaran produk tersebut pada Julai lalu.
Fizie yang tidak menafikan senario itu bagaimanapun mengakui sudah lama tidak bertemu dengan Dr Afif namun bukan bermakna mereka bergaduh.
“Kalau ada yang berfikir kami bermasalah sebenarnya kami baik-baik sahaja walaupun sudah jarang berhubung. Baik saya atau Dr Afif kini sibuk dengan komitmen masing-masing kerana saya bertugas di awal pagi dan dia pula sibuk dengan pengurusan klinik dan penyelidikan dan pembangunan produk lain,” katanya di media sosial miliknya.
Namun Fizie menjelaskan, adalah tidak adil jika ada yang mendakwa naik turun sesuatu produk itu bergantung kepada selebriti yang dilantik yang menjadi duta semata-mata.
Ia kerana katanya, individu yang dilantik itu cuma sebagai salah satu elemen dalam strategi pemasaran bagi sesebuah syarikat.
“Kolaborasi yang berjaya perlu dimainkan oleh kedua-dua pihak di man artis membawa kesedaran tentang produk manakala pemilik jenama pula perlu mementingkan kualiti dan strategi jangka panjang,” katanya.
Sementara itu, Dr Afif turut menafikan dakwaan kononnya perniagaannya rugi ratusan ribu apabila melantik Fizie sebagai duta produk.
Namun dia mengakui terdapat kes selebriti dan pengasas produk ‘perang dingin’ atau bermasam muka apabila tidak mencapai kata sepakat dan perjanjian tidak dipenuhi.
“Dalam hal saya dengan Fizie, memang kami jarang berhubung atau mempromosi produk bersama namun itu tidak membawa maksud kami bergaduh.
“Saya juga menafikan sekeras-kerasnya kononnya berhabis ratusan ribu lantik Fizie sebagai duta EnerVast kerana ia fitnah yang tidak masuk akal langsung kerana kami bekerjasama dengan baik sepanjang masa.
“Walaupun tiada lagi sesi live bersama tetapi Fizie amat memberi komitmen dengan menyusun pelbagai strategi yang orang luar tidak tahu,” katanya. – MalaysiaGazette















