Komuniti memohon penjelasan rasmi dapat dikemukakan dalam kadar segera demi menjaga ketelusan, kepentingan awam, serta keselamatan semua pengguna Jalan Genting Highlands.

KUALA LUMPUR – Syarikat pemaju, GM Aero Support Sdn. Bhd. membantah sebarang caj bayaran memasuki Jalan Genting Highlands di Bentong, Pahang yang menjejaskan hak pengguna di jalan itu.

Pengarah urusannya, Datuk Khoh Siew Kim yang memiliki rangkaian hotel di situ tampil memohon agar lima persoalan utama  diberikan penjelasan rasmi oleh pihak berkuasa berkaitan isu tersebut.

Mewakili pemilik dan komuniti di pusat peranginan popular itu, pihaknya meminta Kementerian Pengangkutan  menjelaskan sama ada jalan utama Genting Highalnds yang dirujuk merupakan jalan awam atau jalan persendirian.

“Kami juga meminta Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) menjelaskan sebab jalan utama di Genting tidak diambil alih sebagai jalan persekutuan atau jalan seliaan JKR serta faktor-faktor yang menyebabkan status jalan tersebut kekal seperti keadaan sekarang.

“Pada masa sama, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) perlu menjelaskan sama ada Pelan Tempatan Bentong yang telah diwartakan mengandungi sebarang elemen berkaitan plaza tol atau stesen caj jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Kerja Raya (KKR) mengesahkan belum menerima sebarang kertas cadangan daripada Genting Malaysia Berhad berhubung cadangan kutipan tol atau sebarang bentuk caj baharu untuk akses ke kawasan persendirian miliknya.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, setakat ini, tiada dokumen atau permohonan rasmi dikemukakan kepada beliau.

Beliau turut menyokong cadangan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Maslan agar menggunakan istilah ‘caj masuk’ sebagai alternatif kepada bayaran tol bagi mengelakkan kekeliruan selain wajar dan lebih mudah difahami.

Mengulas lanjut, Siew Kim menambah, pihaknya turut meminta KPKT menjelaskan sama ada Kebenaran Merancang bagi Genting Highlands turut merangkumi kelulusan akses jalan bagi pembangunan yang telah siap di kawasan itu.

Kata beliau, Majlis Perbandaran Bentong juga perlu mengesahkan sama ada KM bagi stesen caj jalan berkenaan telah diperoleh oleh pihak Genting.

“Kami amat berharap agar penjelasan rasmi dapat dikemukakan dalam kadar segera demi menjaga ketelusan, kepentingan awam, serta keselamatan semua pengguna jalan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast