Gambar hiasan

BAYAN LEPAS – Seorang pekerja lelaki warga Bangladesh maut selepas terkena kepingan struktur acuan (formwork) yang dipercayai jatuh dari aras lapan di sebuah tapak pembinaan, di sini, pada 15 November lalu.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang dalam kenyataan berkata, kejadian berlaku pada jam 11.40 pagi ketika mangsa yang bertugas sebagai spotter atau standby person bagi mengawal kawasan larangan semasa kerja pemunggahan formwork dijalankan di bahagian atas.

“Mangsa yang bekerja dengan sebuah subkontraktor itu disahkan meninggal dunia di hospital akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

“Berikutan kejadian itu, kita mengeluarkan Notis Larangan dan mengarahkan semua aktiviti pembinaan di tapak tersebut dihentikan sehingga siasatan selesai dan risiko kejatuhan objek dapat dikawal sepenuhnya.

“Kita turut menjalankan siasatan lanjut di lokasi dan menegaskan tindakan perundangan akan diambil sekiranya terdapat perlanggaran undang-undang oleh pihak terlibat,” katanya, hari ini.

Tambah JKKP, pihaknya memandang serius setiap kejadian kemalangan di tempat kerja, khususnya melibatkan kehilangan nyawa.

“Semua majikan bertanggungjawab mematuhi Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 serta memastikan kawalan risiko dilaksanakan bagi mengelakkan insiden seumpama itu berulang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast