JOHOR BAHRU – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Johor mendesak kerajaan negeri memberi penjelasan berhubung pertukaran kenderaan rasmi barisan Exco daripada model Toyota Camry kepada Toyota Alphard yang digunakan ketika ini.
Naib Ketuanya, Muhammad Harith Lokman berkata, keputusan tersebut menimbulkan persoalan mengenai keperluan, keutamaan perbelanjaan serta ketelusan pengurusan kewangan kerajaan negeri ketika rakyat berdepan tekanan ekonomi.
“Walaupun Johor dilihat maju daripada segi pembangunan fizikal, ramai rakyat negeri itu masih terpaksa berulang-alik ke Singapura untuk mencari pendapatan, selain berdepan peningkatan kos sara hidup dan harga rumah yang semakin tidak mampu milik.
“Baru-baru ini, tular mengenai penggunaan kereta rasmi baru bagi Exco negeri. Sebelum ini, kereta rasmi Exco adalah Toyota Camry, tetapi kini dilaporkan telah ditukar kepada Toyota Alphard.
“Perkara ini menimbulkan persoalan mengenai keperluan sebenar, keutamaan perbelanjaan dan ketelusan dalam pengurusan kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan.
Armada Johor katanya, turut mempersoalkan sama ada pembelian kenderaan baharu itu dibincangkan dan diluluskan dalam Dewan Negeri Negeri (DUN) serta meminta kerajaan menjelaskan proses kelulusan, anggaran kos keseluruhan dan sebab tidak diumumkan secara terbuka.
“Rakyat berhak mendapat penjelasan yang jelas dan alasan munasabah mengenai keputusan tersebut,” katanya.
Katanya, Armada Johor menegaskan bahawa ketelusan dalam penggunaan peruntukan awam perlu menjadi keutamaan kerajaan negeri agar setiap perbelanjaan dapat dipertanggungjawabkan kepada rakyat.
“Armada Johor menyeru kerajaan negeri supaya memastikan ketelusan dalam penggunaan peruntukan awam.
“Rakyat Johor sedang berjuang untuk kehidupan harian, sementara keputusan sebegini menimbulkan persoalan mengenai keutamaan perbelanjaan,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















