KUALA LUMPUR – Pengundi di Sabah memilih berdasarkan calon yang bertanding, berbanding melihat kepada parti politik yang diwakili calon terlibat.
Menurut pensyarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim, situasi itu berbeza berbanding corak sokongan pengundi di Semenanjung yang lebih cenderung membuat pilihan mengikut parti politik, khususnya di segmen Melayu.
Disebabkan itu, kata beliau, berlaku keadaan yang mana calon yang dilihat tidak kompeten tetap berjaya memenangi kerusi ditandingi kerana bersandarkan kepada parti.
Ujarnya, sikap tidak kompeten itu terus dibawa selepas pilihan raya, yang mana prestasi calon berkenaan sangat lemah sama ada sebagai anggota di dewan legislatif atau daripada sudut khidmat kepada pengundi setempat.
Malah, bukan sesuatu yang mengejutkan, tambah Mohd Yusri, apabila calon yang tidak kompeten sama, masih boleh menang pada pilihan raya seterusnya disebabkan pengundi memangkah berdasarkan parti, bukannya calon.
Berbeza di Sabah, tambah beliau yang juga Felo Penyelidik Unit Literasi dan Advokasi Politik UMT, secara umumnya pengundi di negeri itu lebih memilih berdasarkan calon yang bertanding.

Bahkan, katanya, faktor calon itu sangat besar, jauh mengatasi faktor parti dan faktor isu yang dibawa.
“Dalam satu segi, inilah bijaknya pengundi Sabah. Mereka tidak mudah dikelabui oleh jenama atau identiti parti, sebaliknya lebih melihat prestasi.
“Maksudnya prestasi calon, bagaimana track record calon tersebut memberi khidmat kepada masyarakat dan komuniti.
“Bukan sekadar musim pilihan raya, bahkan mereka sukat prestasi tersebut sepanjang masa,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau.
Disebabkan itu, tambah Mohd Yusri, tempoh 14 hari berkempen bagi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) tidak sempat `dilakonkan’ oleh sesetengah calon jika mereka memang tidak kompeten di luar tempoh kempen secara rasmi tersebut.
Dalam situasi itu, ujar beliau, calon-calon Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) antara yang dilihat mendapat dan mempunyai kelebihan besar.
Katanya, ramai calon GRS diwakili oleh figura besar yang popular dalam kalangan pengundi setempat, atau dalam istilah yang biasa disebut `bigman’.
Tambah beliau, sebahagian calon-calon GRS itu juga membina nama semasa berada dalam parti lain sebelum ini, dengan pengaruh tersebut terus dibawa selepas menyertai GRS.
“Selain GRS, parti-parti lain yang diwakili oleh big figure ini turut berpeluang untuk menang kerusi.
“Jika ada beberapa nama besar yang mempamer prestasi baik bertanding dalam DUN yang sama, undi akan pecah secara besar-besaran,” katanya.
Dalam keadaan seperti itu, tambah Mohd Yusri, aspek taktikal akan menjadi faktor tambahan dalam menentukan kemenangan.
Beliau turut memberi contoh di beberapa DUN yang berdepan situasi sedemikian antaranya DUN Bongawan yang ditandingi oleh calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin yang juga Timbalan Menteri Luar merangkap Ahli Parlimen Kimanis; bekas Menteri Luar, Tan Sri Anifah Aman (GRS) serta penyandang, Dr Daud Yusof (Parti Warisan).
“Walaupun Datuk Alamin dan TS Anifah nama besar di situ, tapi dijangka akan berlaku rekahan besar undi untuk mereka berdua, undi yang sebelumnya daripada kelompok sama.
“Dalam situasi tersebut, Dr Daud berpotensi untuk dapat manfaat, apatah lagi beliau sentiasa ada bersama komuniti Bongawan,” katanya.
Tambah beliau, kerusi DUN Bongawan itu adalah contoh bagaimana faktor calon akan jadi faktor penting dalam menentukan kemenangan di setiap 73 kawasan DUN PRN-17 Sabah, pada 29 November nanti.
“Apapun tempoh kempen masih panjang, semua calon masih ada peluang untuk menang selagi peti undi tidak dikunci,” katanya. – MalaysiaGazette
















