BALING – Sekolah Kebangsaan (SK) Baling melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) susulan kebakaran semalam, yang menjejaskan pejabat pentadbiran, bilik darjah dan tandas sekolah berkenaan.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah memaklumkan tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu dan siasatan punca kebakaran sedang dijalankan.
“Sebagai langkah jangka pendek, SK Baling akan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sehingga kerja baik pulih diselesaikan.
“Siasatan punca kebakaran sedang dijalankan serta penilaian kerosakan terhadap infrastruktur sekolah terlibat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah kenyataan itu, keselamatan murid serta warga sekolah kekal menjadi keutamaan JPN Kedah sepanjang proses pemulihan dijalankan.
Media semalam melaporkan pejabat sekolah berkenaan musnah 90 peratus manakala 40 peratus bagi setiap empat buah kelas dalam kebakaran kira-kira jam 10.40 pagi itu.
Kejadian itu disedari orang awam dan tidak melibatkan mangsa. – MalaysiaGazette
















