Wanita SPRM
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan berhubung isu tiga tender perolehan bernilai RM58.45 juta di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagaimana yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara pada Julai 2025.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus berkata, setakat ini seramai lima individu telah dipanggil bagi membantu siasatan jenayah rasuah.

“Proses siasatan termasuk penelitian dokumen berkaitan masih giat dijalankan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Pada 21 Julai lalu, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat menyatakan tiga daripada tujuh tender perolehan UKM berjumlah keseluruhan RM58.45 juta didapati tidak mematuhi prosedur perolehan yang ditetapkan

Laporan tersebut mendedahkan bahawa Jawatankuasa Perolehan Tender UKM telah memilih syarikat yang tidak disyorkan oleh Jawatankuasa Penilaian Teknikal, Jawatankuasa Penilaian Kewangan dan Jawatankuasa Pra-Tender.

Menurut laporan itu, UKM juga didapati tidak melantik wakil Kementerian Kewangan (MoF) sebagai ahli Jawatankuasa Perolehan, manakala wakil Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang dilantik tidak hadir dalam mesyuarat berkaitan tiga tender berkenaan.

Menurut Zainul, selain siasatan jenayah rasuah, suruhanjaya itu turut membuka kertas penyiasatan tatakelola bagi meneliti aspek pengurusan dan kepatuhan tatakelola dalam perolehan tersebut.

Tambahnya, isu itu turut mendapat perhatian apabila dibangkitkan dalam titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir semasa Majlis Pengisytiharan Pembukaan Konvokesyen ke-53 UKM di Bangi, hari ini.

Zainul berkata, SPRM komitmen berterusan dalam memastikan integriti dan pengurusan tatakelola negara dilaksanakan dengan baik, selaras dengan usaha memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap sistem perolehan awam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast