PUTATAN – Tawaran manifesto Perikatan Nasional (PN) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang tinggi dilihat realistik selepas mengambil kira rizab negeri ini.
Ketua Penerangan PN, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin berkata, semua tawaran yang disebut sebagai ‘Kasi Bagus Sabah’ itu akan menggunakan sepenuhnya rizab negeri itu serta menggunakan sumber baharu iaitu mineral.
“Sabah kini berada dalam keadaan kritikal dan kita tidak ada pilihan. Dalam sektor pekerjaan, anak muda susah nak kerja.
“Bagaimana kita nak lonjakkan? Kita kena keluar daripada kepompong sedia ada, cari jalan bagaimana dan kerana itu PN bagi contoh tadi, bagaimana kita nak latih drone pilot sebagai contoh untuk terlibat sama dalam pelbagai aktiviti bernilai tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas peluncuran manifesto PN di Dataran Pomoi di sini oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mohd Radzi turut berkata, tawaran PN itu juga didorong oleh sumber Sabah yang besar beserta rizab negeri itu yang banyak.
“Dalam konteks ini, keutamaan kita adalah menyelesaikan isu rakyat, jadi apa sahaja sumber yang boleh selesaikan isu rakyat, kita akan gunakan kerana keadaan sudah kritikal,” katanya.
Beliau berkata, ia bukan masa untuk main-main sebaliknya tindakan segera harus diambil.
“Kebanyakan perkara yang PN sebut di dalam tawaran itulah sememangnya perlu tindakan segera jika kami diberi mandat membentuk kerajaan.
“Apabila keadaan kritikal dan melihat kepada sumber yang ada serta potensi sumber akan datang, PN telah menyusun kerangka,” katanya.
Mengambil contoh dana berdaulat (sovereign fund) untuk Sabah, Radzi berkata, jumlah RM10 bilion akan digunakan secara berperingkat.
“Kita sudah mengambil kira semua aspek dalam konteks kewangan negeri sebelum kita buat tawaran ini. Kita nak kena selesaikan masalah, tidak ada gunanya kerajaan ini banyak rizab yang disimpan pun kalau rakyat di bawah sana susah,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohd Radzi juga optimis dengan sumber terbaharu Sabah yang boleh meningkatkan hasil Sabah.
“Melihat kepada sumber hasil Sabah setiap tahun dan potensi kutipan hasil Sabah, kita boleh lihat bagaimana nak menjadikan sumber mineral bakal menjadi sumber kekayaan baru bagi negeri Sabah.
“Kita tak nak jadi macam balak dulu yang akhirnya rakyat Sabah tidak mendapat manfaat yang besar, yang paling penting adalah untuk kita berikan yang terbaik,” katanya lagi.
Ditanya, apakah tawaran yang diberikan ini bergantung kepada hasil pulangan Sabah oleh kerajaan Persekutuan, Radzi berkata, tawaran Kasi Bagus Sabah ia adalah daripada sumber Sabah sendiri.
“Kalau pulangkan itu berlebih, banyak perkara yang kita boleh laksanakan. Jadi dalam konteks ini dan mengambil kira apa potensi pulangan tetapi pada masa yang sama tanpa pulangan, pembangunan sumber yang tersusun, kita yakin kita boleh laksanakan.
“Sebab Sabah ini banyak hasil, cuma cara menggunakan hasil itu yang menjadi masalah,” katanya lagi. -MalaysiaGazette















