KOTA KINABALU – Jawatankuasa Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bakal diwujudkan Barisan Nasional (BN) bagi meneliti semula Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sekiranya memenangi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 pada 29 November ini.
Bendahari BN Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, jawatankuasa khas itu boleh diwujudkan untuk memantau dan mengawasi pelaksanaan MA63 termasuk berkaitan hak-hak Autonomi Sabah.
“BN Sabah sedia melaksanakan keputusan Mahkamah Kota Kinabalu berkaitan pemulangan 40 peratus hasil pendapatan kepada Sabah.
“BN Sabah akan memastikan ia dibuat mengikut Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika menyampaikan Manifesto BN Sabah bertemakan Rancangan Pembangunan Sabah Satu (RSP1), di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi BN, Datuk Seri Salleh Said Keruak dan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Dalam pada itu, BN Sabah memastikan pelantikan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan membabitkan wakil dari Sabah.
“BN Sabah menuntut pelantikan wakil Sabah dalam setiap syarikat berkaitan Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Selain itu, kata Salleh, BN Sabah menawarkan penstrukturan semula syarikat-syarikat berkaitan kerajaan yang bertindih fungsi dan peranannya.
“Langkah itu bagi meningkatkan ketelusan, kecekapan serta pemulangan ekonomi,” katanya. – MalaysiaGazette
















