KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan ada mengeluarkan satu mesej peringatan larangan terbabit rasuah sebagaimana yang tular di aplikasi WhatsApp sempena Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Katanya, SPRM hanya mengeluarkan hebahan peringatan larangan terbabit rasuah menerusi platform rasmi Suruhanjaya ini termasuk hebahan menerusi media arus perdana yang sah di negara ini.
Justeru, SPRM berharap orang ramai sentiasa berhati-hati agar tidak terpedaya dengan mesej berkaitan supaya tidak menjadi mangsa kepada pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang mungkin mengambil kesempatan bagi tujuan tertentu.
Namun, dalam masa yang sama, SPRM ingin mengingatkan kepada calon serta pengundi untuk tidak terlibat dengan mana-mana perbuatan jenayah rasuah dan sekiranya berlaku, orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkenaan kepadanya.
Sebarang aduan rasuah atau rujukan boleh dibuat secara terus kepada Bilik Gerakan SPRM yang telah dibuka pada 10 November lalu di lima lokasi di Sabah iaitu di Pejabat SPRM Kota Kinabalu, Pejabat SPRM Cawangan Sandakan, Pejabat SPRM Cawangan Tawau, Pejabat SPRM Cawangan
Lahad Datu dan Pejabat SPRM Cawangan Keningau.
Selain itu, orang ramai boleh membuat laporan atau membuat rujukan menerusi saluran rasmi SPRM seperti di Portal SPRM di alamat www.sprm.gov.my, Portal Aduan Rasuah SPRM di alamat www.portaladuan.sprm.gov.my, talian bebas tol 1800-88-6000 dan aplikasi MACC Mobile. – MalaysiaGazette















