Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan esok bagi mendengar semakan kehakiman Datuk Seri Najib Razak dalam usaha memaksa kerajaan menguatkuasakan titah adendum bagi membolehkannya menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah.

Prosiding itu dijadual didengar di hadapan Hakim Alice Loke Yee Ching.

Pada 11 September lalu, hakim berkenaan menolak permohonan bekas perdana menteri agar beliau menarik diri daripada mendengar semakan kehakiman itu.

Hakim Alice berpuas hati isu berat sebelah yang dibangkitkan oleh pasukan peguam yang mewakili Najib, tidak timbul dalam pendengaran substantif semakan kehakiman.

Pada prosiding itu, Najib mengemukakan permohonan lisan agar Hakim Alice menarik diri atas alasan beliau merupakan hakim sama yang menolak permohonannya untuk memulakan tindakan menghina mahkamah terhadap bekas Peguam Negara (AG) Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.

Pada April lalu, Najib memohon untuk meminda pernyataan bagi memasukkan afidavit anaknya Datuk Mohamad Nizar berhubung surat bertarikh 4 Januari lalu yang ditandatangani Pengelola Bijaya Di-Raja dari pejabat Sultan Pahang yang mengesahkan salinan titah adendum adalah benar.

Najib memohon perintah mandamus untuk memaksa responden memberikan jawapan dan mengesahkan kewujudan titah adendum bertarikh 29 Januari 2024.

Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Pesuruhjaya Negara Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di Jabatan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Najib memohon perintah bahawa, sekiranya titah adendum wujud, responden atau mana-mana daripada mereka diarahkan untuk segera melaksanakannya, termasuk memindahkannya dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.

Najib menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Dia dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi. Sabitan dan hukuman itu kemudiannya dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, yang menolak rayuannya.

Najib kemudiannya memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022. Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan tempoh penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast