Pengerusi PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud bercakap kepada media selepas pelancaran manifesto Pakatan Harapan bertema “Komitmen Pakatan Harapan Sabah” sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 di Kota Kinabalu, Sabah. Foto MOHD ADZLAN, 23 NOVEMBER 2025.

KOTA KINABALU – Pakatan Harapan (PH) Sabah hari ini melancarkan manifestonya bertemakan Tuntutan 40 Peratus Selesai Membina Sabah Baharu dengan lapan teras utama sempena Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.

Antaranya 40 Peratus Untuk Rakyat, Hak Sabah Terjamin, Akauntabiliti, Reformasi Pentadbiran Sabah, Aspirasi Anak Muda, Pemerkasaan Ekonomi Nilai Tinggi, Agenda Pemerkasaan Wanita dan Negara Maju Bersama Malaysia Madani.

Pengerusinya, Datuk Mustapha Sakmud berkata, sebanyak 10 insiatif ditawarkan dalam teras utama manifesto itu merangkumi penyelesaian kemudahan asas, pendidikan, bantuan kewangan dan kediaman mampu milik.

“PH Sabah menawarkan pembinaan empangan baharu bagi memastikan bekalan air konsisten di seluruh Sabah, memenuhi kapasiti asas serta penggantian paip lama.

“Tiada lagi mati karan iaitu meneroka tenaga hijau dan lestari di samping membangunkan loji janakuasa baharu untuk meningkatkan kapasiti asas tenaga Sabah,” katanya ketika membentangkan Manifesto PH, di sini, hari ini.

Selain itu, PH Sabah juga menawarkan pendidikan tinggi percuma di mana yuran pengajian dikecualikan kepada semua pelajar yang layak.

“Ia bagi memastikan akses saksama kepada pendidikan tinggi yang berkualiti,” katanya.

Menurut Mustapha, di bawah teras pertama 40 peratus, PH Sabah menawarkan pemberian bantuan kewangan RM100 setahun untuk semua rakyat Sabah berumur 18 tahun ke atas.

Selain itu, PH Sabah juga menawarkan rumah mampu milik berharga di bawah RM250,000.

“Keutamaan diberikan kepada pembeli rumah pertama, keluarga muda dan komuniti B40,” katanya.

Dalam pada itu, Manifesto PH Sabah menawarkan usaha untuk merancakkan sektor pelancongan dengan membangunkan kemudahan berkualiti tinggi.

“PH Sabah menawarkan aktiviti berasaskan acara untuk meningkatkan kedatangan pelancong serta merancakkan pertumbuhan ekonomi tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, PH Sabah turut bercadang untuk menaik taraf pelabuhan di Kudat, Sandakan dan Tawau yang bertujuan untuk meningkatkan perdagangan dan mengukuhkan ekonomi sempadan.

“Turut ditawarkan pembinaan taman perindustrian bersepadu baharu untuk menarik pelaburan berteknologi tinggi dan menyokong industri hiliran.

“Manakala inisiatif kesepuluh pula, PH menawarkan pembangunan sistem rel ringan Kota Kinabalu Light Rail (KKLR) untuk meningkatkan pengangkutan awam,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast