Noor Shahin menunjukkan gambar bapanya sebelum maut terkena besi komponen lori di Jalan Sri Bengkal, Sri Gading, Batu Pahat hari ini.

BATU PAHAT – Anak warga emas maut terkena besi komponen lori yang tercabut semasa menaiki kereta dalam perjalanan ke Felda Pemanis, Segamat, hari ini, mahu mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak terbabit.

Anak mangsa, Noor Shahin, 31, berkata, ini kerana tragedi tersebut mengakibatkan bapanya, Juhari Murid, 63, meninggal dunia akibat kecuaian pihak yang berkenaan.

Menurutnya, semasa kejadian bapa bersama-sama isteri yang juga ibunya, Zaina Khalid, 58 menaiki kereta Perodua Alza bersama-sama dua kakaknya  dan dipandu adik bapaya, Aspar, 56, dari Senggarang, di sini.

Noor Shahin berkata, dia kemudian menerima panggilan daripada sepupunya memaklumkan mengenai insiden yang mengorbankan bapanya di lokasi kejadian.

“Sebaik mendapat berita sedih itu, saya teringat rasa tidak sedap hati semalam selepas ibu, memberitahu dia bersama-sama ayah mahu ke Segamat atas urusan keluarga.

“Saya bergegas dari Muar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat selepas dimaklumkan mengenai kejadian,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik HSNI.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani dilaporkan berkata, kejadian berkenaan berlaku pukul 9.07 pagi.

Shahrulanuar Mushaddat berkata, apabila sampai di tempat kejadian tiba-tiba cermin besar hadapan kereta ditembusi satu objek dipercayai komponen lori (coupling shaft).

Kompem berkenaan katanya, telah tercabut dari sebuah lori yang sedang bergerak dari arah berlawanan.

Bercerita lanjut, Noor Shahin mendakwa, dia sempat membuat panggilan video dengan bapanya sehari sebelum kejadian yang meluahkan rasa teruja untuk bertemu cucunya berusia tiga bulan.

“Semalam ayah sangat gembira. Ayah beritahu tidak sabar nak jumpa cucu. Sepatutnya hari ini saya balik dari Muar untuk berjumpa ayah.

“Minggu lalu, saya balik ke Batu Pahat dan kami sempat berjumpa seperti biasa. Ayah seorang yang sangat penyayang terhadap empat anak dan cucunya,” ujarnya.

Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Parit Simpan, Senggarang selepas solat Asar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast