Datuk Armizan Mohd Ali.

KOTA KINABALU – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membidas kenyataan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal yang mendakwa parti itu telah melaksanakan 17 daripada 21 tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ketika mentadbir Sabah.

Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohamad Ali menegaskan, tuntutan MA63 tidak boleh dibiarkan menjadi tunggangan politik atau modal pilihan raya semata-mata, sebaliknya memerlukan kenyataan yang jujur dan disokong oleh bukti pelaksanaan rasmi.

“Saya ada akses kepada semua maklumat mengenai perbincangan rasmi MA63 di antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sabah dan Kerajaan Sarawak.

“Itu sebabnya saya agak musykil bila mana Shafie berulang kali bangkitkan Warisan telah menjayakan 17 perkara MA63,” katanya menerusi hantaran video di Facebooknya.

Beliau berkata, terdapat perbezaan ketara antara frasa ‘selesai dibangkitkan’ atau ‘dipersetujui secara prinsip’ dengan ‘telah berjaya dimuktamadkan dan dilaksanakan’.

“Selesai dalam erti kata sebenar adalah telah dibangkit dan telah dibincang dalam platform rasmi, ada keputusan dan ada tindakan susulan secara rasmi.

“Dalam konteks MA63, persetujuan menyeluruh meliputi butiran pelaksanaan dan perlu ada hitam putih sama ada tindakan legislatif (perundangan), eksekutif (pentadbiran), atau instrumen rasmi lain,” katanya.

Untuk rekod, Armizan pernah menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan bertanggungjawab terhadap urus setia MA63.

Video pendedahan Armizan berkenaan isu MA63 di Facdebooknya malam tadi.

Armizan turut mengulas dua perkara MA63 yang sering dijaja Warisan sebagai kejayaan.

“Pertamanya, kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai Wilayah di mana Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang dibentangkan Warisan pada 9 April 2019 gagal mendapat sokongan majoriti dua pertiga. Pindaan itu ditolak kerana kandungan pindaan tidak mengaitkan secara tersurat dengan MA63.

“Pindaan ini akhirnya selesai apabila berjaya diluluskan di Dewan Rakyat pada 14 Disember 2021.

“Pindaan ini berlaku pada 2021, bukan tempoh Warisan memimpin Kerajaan Sabah. Maksudnya, Warisan tidak berjaya dan apa yang Warisan cakap itu auta, bukan fakta,” katanya lagi.

Perkara kedua menurut Armizan, adalah berkaitan kuasa Pengeluaran Lesen Perikanan Laut Dalam (Zon C2).

“Warisan mendakwa mereka menyelesaikan tuntutan ini, namun faktanya pemberian kuasa berkaitan lesen dan permit Perikanan Laut Dalam kepada Sabah hanya berlaku selepas era Warisan iaitu pada tahun 2021.

“Perkara ini dipersetujui, dilulus dan dilaksanakan dalam tahun 2021 di mana Kerajaan Sabah pada masa itu diterajui oleh GRS, bukan Warisan,” jelasnya.

Sebagai perbandingan, Armizan turut berkongsi kejayaan yang dicapai dalam tempoh setahun beliau memimpin urusetia MA63 di bawah kerjasama Kerajaan Persekutuan MADANI dan Kerajaan Sabah GRS.

“Lima perkara penting yang bukan sahaja dipersetujui malah dilulus dan dilaksanakan melalui instrumen rasmi, antaranya penyerahan kuasa Kawal Selia Bekalan Gas & Elektrik kepada Kerajaan Sabah, pengiktirafan JKR dan JPS Sabah/Sarawak sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182, Pindaan Akta LHDN dan Garis Panduan Khas Penyerahan Semula Tanah Direzabkan Bagi Maksud Persekutuan.

“Inilah beza komitmen di antara Warisan dan Kerajaan Pusat zaman mereka dan cara kerja GRS dan Kerajaan Persekutuan masa kini.

We don’t just talk, claim and over-claim, but we walk the talk, work in progress,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast