Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) N.30 Bongawan, Tan Sri Anifah Aman menyantuni penduduk pada walkabout sempena kempen Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 di Pekan Bongawan, Papar, Sabah. Foto MOHD ADZLAN, 20 NOVEMBER 2025.

BONGAWAN – Ketua Penerangan GRS DUN Bongawan, Mohd Saidin Ibrahim menyifatkan serangan peribadi terhadap Tan Sri Anifah Aman, sebagai tidak berasas dan tidak adil hanya kerana beliau merupakan adik kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.

Menurutnya, cubaan membangkitkan isu kekeluargaan tidak memberi apa-apa nilai kepada perbahasan politik, sebaliknya hanya mengalihkan perhatian daripada isu-isu yang lebih besar dan lebih dekat dengan rakyat Bongawan.

“Dalam politik Sabah dan Malaysia, wujud ramai tokoh daripada keluarga yang sama yang turut memberi sumbangan besar kepada negara.

“Kita ada adik-beradik seperti Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, keluarga Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Juga hubungan ayah–anak seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Tun Abdul Razak Hussein dan Datuk Seri Najib Razak, serta Tun Hussein Onn dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan ramai lagi tidak habis kita beri contoh,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Saidin Ibrahim.

Tegasnya, rakyat menilai seorang pemimpin berdasarkan rekod, pengalaman dan keupayaan untuk menyelesaikan masalah, bukannya siapa ahli keluarganya.

“Jadi apa sebenarnya masalahnya? Yang rakyat Bongawan mahu lihat ialah kerja, prinsip dan hasil. Itu sahaja. Mereka tidak memilih berdasarkan siapa abang atau adik seseorang, tetapi apa yang boleh dilakukan untuk kawasan ini,” tegasnya.

Mohd Saidin berkata, kelebihan Anifah sebagai calon GRS di kawasan itu, bukan sekadar pengalaman sembilan tahun sebagai menteri luar, tetapi keberaniannya membawa isu MA63 ke Kabinet pada ketika ia belum menjadi slogan politik mana-mana pihak.

“Beliau pernah memperjuangkan hak Sabah di peringkat tertinggi ketika orang lain belum pun bercakap tentang MA63 secara terbuka. Tekanan politik pun beliau sanggup hadapi demi memastikan isu itu sampai kepada Kerajaan Persekutuan. Itu bukti integriti,” ujarnya.

Katanya lagi, rekod sedemikian sepatutnya menjadi asas kepada penilaian pengundi, apatah lagi dalam konteks Bongawan yang memerlukan pemimpin berpengalaman untuk mengangkat isu infrastruktur, peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi setempat.

“Bongawan perlukan seseorang yang bukan sahaja faham realiti tempatan, tetapi mempunyai rangkaian hubungan, kepakaran dan keberanian untuk mendapatkan yang terbaik untuk penduduk di sini. Itu fokus kami, bukan isu-isu remeh yang tidak membantu rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast