Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pendidikan prasekolah merupakan permulaan yang kritikal dalam perjalanan pendidikan seorang kanak-kanak.

Di peringkat ini, minda kanak-kanak mudah dibentuk untuk menerima nilai-nilai murni serta membentuk personaliti mereka.

Sebab itulah Kurikulum Prasekolah 2026 tampil dengan satu naratif yang sangat penting iaitu pembentukan karakter sebagai asas membina insan sejahtera. Bukan saja melahirkan anak yang bijak, tetapi juga berbudi, berakhlak, penyayang dan tahan lasak dalam kehidupan.

Kurikulum Prasekolah 2026 digubal berasaskan standard dan berorientasikan kompetensi, yang bermaksud selain menguasai pengetahuan dan kemahiran asas, murid juga dilatih untuk mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai murni dalam kehidupan seharian.

Antara nilai yang diberi penekanan termasuk kasih sayang dan empati melalui aktiviti berkongsi, bekerjasama dan memahami perasaan rakan.

Selain itu, murid yang mempunyai daya tahan dan ketabahan yang tinggi dapat dididik melalui cabaran sederhana dalam pembelajaran dan permainan. Selain itu, keyakinan diri juga dapat  dipupuk melalui persembahan, bercerita dan menyelesaikan masalah secara kendiri.

Nilai lain yang ditekankan adalah rasa ingin tahu dan minat belajar yang digalakkan melalui penerokaan, soalan dan pengalaman hands-on.

Turut ditekankan, adalah nilai rasa bertanggungjawab dan amanah yang diterapkan melalui amalan harian seperti memberikan murid peranan tertentu sebagai contoh menjadi petugas pada waktu rehat, yang membolehkan mereka mengembangkan sikap positif.

 Membentuk karakter dan identiti insan

Melalui pendekatan itu, nilai-nilai murni seperti empati, kasih sayang, hormat, amanah dan bertanggungjawab diterap secara berterusan sehingga membentuk karakter dan identiti seorang insan sejahtera.

Pembangunan karakter dalam kalangan murid prasekolah itu bagaimanapun tidak akan mencapai matlamatnya tanpa peranan guru sebagai pembimbing dan suri teladan (role model).

Melalui kata-kata, tindakan dan pendekatan pengajaran yang penyayang, para guru menanamkan nilai-nilai karakter secara tidak langsung dalam setiap detik persekolahan.

Dalam masa sama, ibu bapa juga digalakkan untuk terlibat aktif dan menyokong apa yang dipelajari anak di prasekolah, supaya terdapat kesinambungan serta pengukuhan amalan nilai antara sekolah dan rumah.

Sementara itu, menurut pemerhati pendidikan, Mohd Fadhli Othman, pembentukan karakter murid bukan tentang menambah beban pembelajaran, tetapi tentang menghidupkan nilai-nilai kemanusiaan dalam kehidupan sekolah.

 Pupuk nilai menerusi aktivi menyeronokkan

Katanya, antara nilai utama yang ditekankan termasuklah kejujuran, kasih sayang, empati,  keberanian, kebersihan, hormat serta kerjasama.

Jelas belilau, nilai-nilai itu dipupuk melalui aktiviti yang menyeronokkan dan praktikal, bukan hafalan atau teori semata-mata.

“Murid akan dilatih untuk menunjukkan  kasih sayang kepada diri sendiri, keluarga, rakan, sekolah dan komuniti sekeliling mereka.

“Dengan itu, setiap murid dapat membesar menjadi insan yang seimbang dari segi emosi, sosial dan moral seiring dengan hasrat negara melahirkan Generasi MADANI yang berakhlak dan bertanggungjawab,” katanya.

Mohd Fadhli Othman.

Pembinaan karakter tak bebankan guru dan murid

Tambah Mohd Fadhli yang juga aktivis Pendidik Sejahtera, dari sudut pelaksanaan, program pembentukan karakter tidak membebankan guru mahupun murid.

Setiap murid juga, ujarnya, akan mempunyai profil karakter, yang merekod perkembangan nilai dan sahsiah diri mereka sepanjang tahun persekolahan.

Pendekatan itu, jelas beliau, menjadikan sekolah bukan sekadar tempat belajar ilmu, tetapi tempat menumbuhkan budi dan membentuk hati.

“Dalam dunia hari ini, cabaran murid bukan hanya pada pelajaran, tetapi pada bagaimana mereka mengurus emosi, hubungan sosial, dan tanggungjawab sebagai warganegara.

“Maka, pembentukan karakter menjadi pelengkap kepada pendidikan yang holistik mencakupi akal, emosi, dan rohani.

Sebenarnya, inilah yang telah lama menjadi hasrat pendidikan negara melahirkan insan seimbang seperti yang diimpikan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan,” kataya kepada MalaysiaGazette.

Secara kesimpulannya, pembentukan karakter di prasekolah bukan sekadar satu komponen dalam kurikulum, tetapi merupakan jiwa kepada pendidikan awal kanak-kanak yang dilaksanakan secara holistik dan berterusan.

Melalui Kurikulum Prasekolah 2026, pendekatan integratif ini membolehkan murid prasekolah mengembangkan sikap positif serta kebolehan menyesuaikan diri untuk menghadapi perubahan dan cabaran pada masa hadapan.

Melahirkan generasi muda cerdas, berakhlak

 Adalah diharapkan, program pembentukan karakter di prasekolah itu dapat melahirkan generasi muda yang tidak hanya cerdas dari segi akademik malah mempunyai hati yang baik, minda yang teguh, dan sikap yang positif yang sedia untuk menghadapi alam persekolahan seterusnya dan kehidupan sebagai insan sejahtera.

Kurikulum Prasekolah 2026 bukan sekadar satu dokumen pendidikan, tetapi satu kompas membimbing masa depan generasi Malaysia.

Ia mahu anak-anak kita hadir ke tahun satu bukan hanya dengan buku di tangan, tetapi hati yang baik, minda yang kuat, dan sikap yang positif. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast