Timbalan Menteri Komunikasi yang juga Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 03 MAC 2025.

KUALA LUMPUR – Cadangan melarang pengguna berusia bawah 16 tahun daripada membuka akaun media sosial tidak boleh dibuat secara terburu-buru, sebaliknya memerlukan penelitian teknikal dan dasar yang menyeluruh.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, Malaysia sedang meneliti langkah Australia iaitu negara pertama yang bakal menguatkuasakan larangan tersebut bermula 4 Disember depan namun pendekatan kedua-dua negara tidak semestinya serupa.

“Australia menggunakan kaedah ‘age assurance’ tanpa perlu IC, passport atau proses eKYC. Mereka menilai kandungan atau meminta pengguna muat naik foto untuk anggar umur.

“Malaysia pula mempertimbangkan ‘age verification’ yang memerlukan eKYC, iaitu pengesahan identiti digital. Standard teknikalnya tinggi dan pelaksanaannya rumit. Kita perlu pastikan platform mampu lakukan sepenuhnya sebelum diwajibkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung sesi perbahasan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 bagi Kementerian Komunikasi di Dewan Rakyat, hari ini.

Beberapa Ahli Parlimen termasuk Bayan Baru, Jerantut, Balik Pulau dan Bukit Gelugor membangkitkan persoalan sama ada kerajaan wajar memperluas tanggungjawab kepada ibu bapa sekiranya larangan umur dikuatkuasakan.

Nie Ching mengakui ia merupakan isu sensitif, namun wajar dibincang secara terbuka.

“Soalannya sekarang, adakah Malaysia bersedia menghukum ibu bapa jika anak bawah 16 tahun membuka akaun sosial media? Di Australia, tindakan hanya pada platform, bukan ibu bapa.

“Kita sendiri lihat di restoran, ramai ibu bapa bagi telefon atau iPad tanpa pengawasan. Tanpa pemantauan, risiko tetap wujud walaupun ada undang-undang,” ujarnya.

Tambahnya, walaupun internet mempunyai manfaat besar terutama dalam pembelajaran, ibu bapa perlu memainkan peranan utama.

“Saya sendiri ada tiga orang anak. Mereka perlu akses internet untuk kerja sekolah, Google Classroom, kelas muzik. Tapi ibu bapa tetap kena pantau kandungan mana sesuai atau tidak,” katanya.

Sementara itu, Nie Ching menjelaskan, usaha menangani ketagihan digital dan keselamatan kanak-kanak tidak boleh dipikul Kementerian Komunikasi sahaja, sebaliknya kerjasama kementerian-kementerian serta agensi lain selain penglibatan ibu bapa sekali.

Kata beliau, kerajaan tidak akan mengambil pendekatan ‘ikut sahaja’ apabila negara lain membuat larangan drastik. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast