Calon Barisan Nasional N.13 Pantai Dalit, Alfian Sambas bercakap kepada media sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 di Kota Kinabalu, Sabah. Foto MOHD ADZLAN, 24 NOVEMBER 2025.

TUARAN – Pendekatan ziarah rumah ke rumah merupakan kaedah paling berkesan untuk mendekati dan menyantuni pengundi meskipun tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 hanya berbaki empat hari sebelum pengundian, Sabtu ini.

Calon Barisan Nasional (BN) N13 Pantai Dalit, Alfian Sambas berkata, memandangkan kira-kira 70 peratus pengundi di kawasannya itu mempunyai talian kekeluargaan dengannya, beliau lebih selesa berkempen secara bersemuka.

“Saya cuba sebaik mungkin berjumpa seramai mungkin pengundi-pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Dalit.

“Saya lebih menggunakan sentuhan rumah ke rumah sebab uniknya Pantai Dalit ini kami terdiri dalam lingkungan satu keluarga besar, hampir 60 hingga 70 peratus mempunyai kaitan persaudaraan.

“Saya lebih suka mendekati dan berkempen rumah ke rumah, berjumpa saudara mara, pakcik, makcik, memang agak penat, tapi bagi saya ia lebih efisien,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Calon Barisan Nasional N.13 Pantai Dalit, Alfian Sambas beramah mesra bersama jenterah sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 di Kota Kinabalu, Sabah. Foto MOHD ADZLAN, 24 NOVEMBER 2025.

Pada 15 November lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan menerima tujuh kertas pencalonan daripada termasuk Mohd Zulkernain Osman (PN); Datuk Aliasgar @ Ali Ashgar Basri (Warisan); Datuk Jasnih Daya (Gagasan Rakyat); Francis Fahir@Tongong (StarSabah), Jaesman@Jaess Gipin (KDM); Liam Tawil (PIS) dan Alfian Sambas (BN).

Kerusi N13 Pantai Dalit yang mempunyai 26,346 pengundi dimenangi Jasnih atas tiket BN dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 pada 2020 dengan majoriti 3,794 undi.

Selain itu, Alfian tidak menafikan agak mustahil mana-mana calon parti politik mahupun dirinya berjumpa dengan kesemua 26,346 pengundi di DUN Pantai Dalit sepanjang tempoh kempen.

“Namun saya akan buat sehabis baik mungkin dengan membuat sentuhan melalui kandungan media sosial.

“Bagi pengundi-pengundi Pantai Dalit yang ingin mengenali dengan dekat calon BN DUN Pantai Dalit, boleh ikuti saya dalam mana-mana akaun media sosial saya Facebook, TikTok dan Instagram, atas nama Alfian Sambas,” katanya.

Calon Barisan Nasional N.13 Pantai Dalit, Alfian Sambas beramah mesra bersama jenterah sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 di Kota Kinabalu, Sabah. Foto MOHD ADZLAN, 24 NOVEMBER 2025.

Ketika ditanya tentang peluang BN untuk mengulangi kemenangannya di kerusi N13 Pantai Dalit pada Sabtu ini, Alfian berkata, perkara itu tidak mustahil dicapai, apatah lagi BN kini melakukan banyak perubahan.

“Dengan perubahan yang ketara 80 peratus calon baharu yang diketengahkan, saya rasa ini mesej yang jelas BN, parti ini telah melalui fasa untuk berubah.

“Dalam masa sama, kita melihat seluruh rakyat Sabah mendambakan perubahan yang menyeluruh. Ini bermakna BN telah bersedia bersama-sama rakyat Sabah untuk berubah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast