KUANTAN – Ekspo Hartanah Malaysia Peringkat Negeri Pahang (MAPEX 2025) yang berlangsung baru-baru ini berjaya menarik minat kira-kira 1,000 pembeli berpotensi menerusi program selama empat hari yang berakhir semalam.
Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Pahang selaku penganjur program telah bekerjasama dengan Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) menawarkan ketersediaan sebanyak 1,902 unit rumah kediaman pelbagai kategori dengan nilai lebih RM725 juta.
Menurut Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau Negeri Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, kediaman yang ditawarkan melalui pameran itu merangkumi pelbagai kategori, sesuai dengan keperluan dan kemampuan masyarakat.
“Antaranya, rumah teres setingkat (1,073 unit), pangsapuri (150 unit), teres dua tingkat (141 unit) dan rumah berkembar (100 unit) yang tersedia di empat daerah di negeri ini iaitu di Kuantan, Pekan, Rompin dan Chendor.
“Keseluruhan penawaran ini menunjukkan kepelbagaian pilihan kediaman yang mampu memenuhi keperluan pelbagai segmen masyarakat, sama ada keluarga baharu, golongan muda, mahupun mereka yang mencari kediaman yang lebih selesa dan berdaya huni,” katanya.

Melihat kepada sambutan menggalakkan pengunjung terhadap penganjuran MAPEX 2025 itu, Mohammad Fakhruddin berkata, ia seharusnya diteruskan secara tahunan, lebih-lebih lagi seiring pembangunan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang siap pada tahun 2027.
Beliau berkata, pembangunan projek hartanah dan perumahan di negeri ini dijangka berkembang setelah jajaran projek ECRL siap pada 2027.
“Kerajaan negeri juga bersedia membantu dalam usaha pemaju mengurangkan kos dan mepercepat proses permohonan, CCC dan sebagainya.
“Ini kerana kita nak jadikan Pahang sebagai negeri yang menyediakan rumah berkualiti dengan harga terbaik berorientasikan tahap kehidupan rakyat di negeri ini,” tambahnya.
Dalam pada itu, Mohammad Fakhruddin berkata, kerajaan negeri turut menitikberatkan pemilikan kediaman buat golongan generasi muda di negeri ini.
Justeru, beliau menyeru rakyat di negeri ini agar mendaftar di laman e-perumahan.gov.my untuk memilih kediaman yang bersesuaian dengan kemampuan masing-masing.
“Kita dapati semakin ramai mendaftar menunjukkan semakin ramai memerlukan rumah. Sebelum ni 45,000. Selepas kita adakan e-perumahan ni, jumlah itu meningkat kepada 112,000 pendaftaran,” tambahnya.
Justeru, beliau berharap REHDA dapat terus bekerjasama dengan LPHP membangunkan projek perumahan mampu milik bagi memenuhi keperluan rakyat. – MalaysiaGazette
















