SEPANGGAR – Calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN N.16 Karambunai, Datuk Yaakubah Khan dilihat mempunyai kelebihan ketara berbekal rekod perkhidmatan cemerlang dan konsisten sepanjang lima tahun berkhidmat di kawasan tersebut.
Apa yang menjadikan Yaakubah ini unik adalah penerimaan baik yang melangkaui batas kaum dan agama.
“Alhamdulillah, saya diterima segenap lapisan penduduk di seluruh Karambunai.
“Kami harmoni dengan pelbagai agama, budaya dan adat yang kami ada di sini.
“Bukan sahaja Melayu atau Bajau, Kadazandusun Murut sehinggalah masyarakat Cina, mereka menerima saya dan BN dengan baik,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Penyandang DUN Karambunai ini juga berkata, pengundi di Karambunai dijangka membuat penilaian berdasarkan hasil nyata dan bukannya retorik politik semata-mata.
“Lihatlah rekod saya sepanjang lima tahun ini.
“Program-program bantuan kebajikan, sokongan kepada usahawan kecil, dan inisiatif pembangunan belia telah dilaksanakan secara berterusan, bukan hanya bermusim.
“Kami semua sangat dekat dan kami seperti bersaudara,” katanya lagi.

Antara perkara yang sudah dilaksanakan Yaakubah adalah seperti peningkatan infrastruktur asas seperti memastikan projek-projek infrastruktur kritikal, terutamanya pembaikan jalan raya dan peningkatan sistem bekalan air di kawasan-kawasan pedalaman Karambunai dapat disiapkan mengikut jadual.
Selain itu, isu tanah dapat dibantu dengan baik apabila menyelesaikan isu tuntutan tanah adat dan geran yang tertangguh memandaingkan ia isu yang sangat sensitif dalam kalangan penduduk tempatan.
“Alhamdulillah, itulh komitmen saya kepada penduduk Karambunai.
“Insya-Allah jika kepercayaan terus diberikan kepada saya, banyak lagi masalah lain akan dilakukan untuk kesejahteraan rakyat.
“Saya tidak mahu janji tapi tak buat, saya hanya mahu lakukan yang terbaik untuk penduduk di sini,” ujarnya.
DUN Karambunai menyaksikan pertarungan 11 penjuru, Yaakubah yakin ini merupakan pertandingan yang sihat.
“Inilah demokrasi, siapapun boleh bertanding. Namun, saya percaya pengundi di sini sudah ada jawapan dan semoga mereka memilih yang benar-benar boleh berbakti pada masyarakat,” katanya.
Dengan persaingan yang sengit dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini, rekod perkhidmatan Yaakubah dijangka menjadi faktor penentu utama yang mampu menawan pengundi atas pagar dan memecah undi lawan, sekali gus membawa kemenangan kepada BN.- MalaysiaGazette















