PASIR GUDANG – Masih terlalu awal untuk membuat keputusan UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan bekerjasama dengan mana-mana gabungan politik sekiranya BN tidak dapat membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani tidak mahu membuat jangkaan atau sebarang spekulasi kerana PRN tersebut masih belum selesai.
“Lambat lagi pilihan raya negeri nak cerita (untuk beritahu, lepas (PRN) Sabah ada (PRN) Melaka dan Johor. Lambat lagi (keputusan PRN Sabah),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di EcoCeres Renewable Fuels Sdn Bhd, Pelabuhan Tanjung Langsat di sini hari ini.
Johari ditanya mengenai perancangan UMNO dan BN sekiranya gagal mempunyai kerusi yang cukup untuk menbentuk kerajaan Sabah selepas PRN Sabah ke-17 pada 29 November ini.
Pada PRN Sabah ke-17, BN bertanding di 45 daripada 73 Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan 81 peratus calon merupakan muka baharu termasuk hampir separuh merupakan golongan profesional dan muda.- MalaysiaGazette
















