KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Kebajikan Dinamik Sinar Kasih (DSK), Datuk N Sivakumar mempersoalkan tindakan seorang Timbalan Menteri menghadiri perhimpunan aman bagi mendesak penyelesaian kes Indira Gandhi.
Beliau berkata, tindakan anggota pentadbiran turun ke jalan raya menimbulkan persoalan tentang keutamaan dan peranan sebenar seorang pemimpin kerajaan dalam menggerakkan penyelesaian isu yang telah berlarutan hampir 15 tahun.
“Saya hormati keberanian beliau hadir, tetapi sebagai Timbalan Menteri dalam portfolio perundangan, bukankah lebih tepat menggunakan kuasa yang ada untuk menyelesaikan isu ini dari dalam kerajaan, bukan melalui perhimpunan?” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sivakumar dipercayai merujuk tindakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran yang hadir memberikan sokongan kepada pasukan Indira yang berarak dari pusat beli belah Sogo hingga ke ibu pejabat polis Bukit Aman bagi menyerahkan anak patung Prasana Diksa kepada Ketua Polis Negara sebagai tuntutan simbolik memohon anaknya dikembalikan.
Sementara itu, Sivakumar berkata, Timbalan Menteri tersebut sepatutnya mempunyai keupayaan dan akses untuk menggerakkan tindakan sejak dilantik dua tahun lalu.
Katanya, ia termasuk mengadakan pertemuan dengan Polis Diraja Malaysia berhubung pencarian Prasana Diksa, anak Indira yang dilarikan bekas suaminya pada 2009.
“Isu ini bukan baharu. Ia sudah 15 tahun. Beliau sudah dua tahun dalam jawatan. Mengapa perlu menunggu perhimpunan untuk mengatur pertemuan dengan Ketua Polis Negara?” katanya.
Beliau berkata, langkah itu boleh memberi gambaran seolah-olah kerajaan sendiri tidak serius menangani kes antara bidang kuasa sivil dan syariah yang paling lama tertangguh dalam sejarah negara.
“Beliau berada di pihak kerajaan, bukan pembangkang. Jika seorang timbalan menteri sendiri perlu berhimpun untuk mendesak tindakan dalam portfolio yang dipimpinnya, apa mesej yang dihantar kepada rakyat?” ujarnya. – MalaysiaGazette














