ISKANDAR PUTERI – Pertukaran kenderaan rasmi barisan Exco Johor daripada model Toyota Camry kepada Toyota Alphard yang digunakan sebelum ini bukan pembaziran.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Farkhan Haron berkata, ketika ini menjadi satu keperluan untuk menukar kenderaan rasmi itu yang telah digunakan sejak 5 tahun 9 bulan lalu.
“Kenderaan rasmi itu telah mencapai mileage yang tinggi dan kos selenggaraan yang meningkat. Maka penukaran adalah keperluan operasi, bukan pembaziran.
“Pertukaran kenderaan rasmi bukan keputusan suka-suka. Di Johor, setiap keputusan termasuk kenderaan rasmi mesti diluluskan melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK).
“Ini keputusan pentadbiran yang mengikut tatacara kewangan kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Minggu lalu, Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Johor mendesak kerajaan negeri memberi penjelasan berhubung pertukaran kenderaan rasmi barisan Exco Johor dan isu tersebut tular dalam media sosial.
Naib Ketuanya, Muhammad Harith Lokman berkata, keputusan tersebut menimbulkan persoalan mengenai keperluan, keutamaan perbelanjaan serta ketelusan pengurusan kewangan kerajaan negeri ketika rakyat berdepan tekanan ekonomi.
Armada Johor katanya, turut mempersoalkan sama ada pembelian kenderaan baharu itu dibincangkan dan diluluskan dalam Dewan Negeri Negeri (DUN) serta meminta kerajaan menjelaskan proses kelulusan, anggaran kos keseluruhan dan sebab tidak diumumkan secara terbuka.
Mengulas lanjut, Farkhan berkata, Bersatu tidak patut menyembunyikan fakta bahawa pada 2020, ketika Johor di bawah pentadbiran parti itu, kerajaan negeri turut membeli kenderaan rasmi baharu iaitu Toyota Camry untuk kegunaan Exconya.
Jelas beliau, puncanya sama keadaan kereta lama yang digunakan iaitu Honda Accord ketika itu sering rosak dan kos selenggaraan tinggi.
“Bezanya cuma satu, dulu mereka beli, hari ini mereka bantah. Itu bukan prinsip. Itu politik bermusim,” katanya.
Mengenai tindakan Pengerusi Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal yang mempersoalkan Belanjawan Johor 2026 sama ada rakyat benar-benar mendapat manfaat dan menyelesai masalah mereka, beliau anggapan bekas Menteri Besar Johor itu mengkritik tanpa fakta.
Menurutnya, belanjawan itu membawa hala tuju ekonomi jelas, mempunyai strategi penciptaan pekerjaan, fokus kebajikan rakyat, agenda belia dan inklusif serta disiplin fiskal yang kukuh.
Dakwanya, ini berbeza dengan rekod Bersatu semasa menjadi kerajaan negeri pada 2018 hingga 2020 yang tidak mempunyai legasi besar untuk ditunjukkan.
“Fakta pentadbiran lalu boleh dilihat politik tidak stabil, tiada pelan pembangunan jangka panjang yang tinggal untuk rakyat, tiada projek besar yang boleh dijadikan penanda aras dan dasar perumahan hanya tukar nama tanpa perubahan dasar.
“Jika tiada legasi untuk ditunjukkan, jangan pula cuba menjadi juara persepsi hari ini. Lebih baik Bersatu dan Armada Johor fokus selesaikan masalah dalaman parti sendiri. Politik dalaman huru hara tapi sibuk menyerang kerajaan,” katanya.- MalaysiaGazette
















