PUTRAJAYA – UMNO melahirkan keyakinan bahawa Barisan Nasional mampu menawan semula Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 berdasarkan persiapan jentera yang tersusun serta kredibiliti calon yang diketengahkan di 45 kerusi dipertandingkan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keyakinan itu juga disokong oleh komitmen tinggi jentera parti di peringkat akar umbi serta penerimaan positif rakyat terhadap calon BN.
“Melihat kepada persiapan jentera, barisan calon yang begitu kerja kuat, Insya-Allah Barisan Nasional akan mencapai kejayaan.
“Sebanyak 45 kerusi itu sudah memadai untuk membentuk kerajaan negeri. Malah penerimaan rakyat terhadap calon-calon kita juga begitu baik,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Hi-Tea Program Jaminan Kerjaya anjuran Yayasan Pahang, hari ini.
Sesebuah kerajaan negeri boleh ditubuhkan sekiranya mana-mana parti mahupun gabungan dapat memenangi 37 kerusi DUN atau lebih.
Sabtu lalu, BN melancarkan manifesto bagi PRN Sabah ke-17 dengan memperkenalkan Rancangan Pembangunan Sabah Satu (RPS1) yang menggariskan enam teras utama bagi memacu pembangunan negeri serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, RPS1 dirangka secara komprehensif meliputi aspek Kemakmuran Ekonomi dan Kesejahteraan Hidup, Wanita dan Orang Muda sebagai Tonggak Negara serta Pendidikan Berkualiti Untuk Semua.
Mengikut statistik SPR, seramai 1,784,843 pengundi layak menunaikan tanggungjawab mereka pada PRN kali ini, merangkumi 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera bersama pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan. – MalaysiaGazette
















