KUANTAN – Seramai 23 individu melibatkan 10 keluarga dilaporkan terjejas ekoran banjir yang melanda Kampung Ulu Sungai di Batu Talam, Raub malam tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Raub, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Raub memaklumkan, sebuah Pusat Permindahan Sementara (PPS) secara rasmi telah diaktifkan pada pukul 11.30 malam.
“Banjir disebabkan hujan lebat berterusan dan limpahan air Sungai Lipis di Batu Malim, Raub.
“Susulan itu, APM Raub dan agensi terlibat membantu proses pemindahan 23 individu termasuk lapan warga emas, empat kanak-kanak lelaki dan seorang orang kurang upaya (OKU) ke PPS Balai Raya Kampung Ulu Sungai,” katanya dalam kenyataan awal pagi ini.
APM Raub turut memaklumkan membuat pemantauan di sepanjang kawasan sungai terlibat bersama agensi penyelamat lain sebagai langkah berjaga-jaga.
Sementara itu, PublicInfoBanjir memaklumkan status aras air semasa di Kuala Medang, Lipis menunjukkan aras air sungai pada 85.25 meter iaitu melebihi aras BAHAYA sebanyak 0.75 meter sehingga jam 6.15 pagi tadi. – MalaysiaGazette
















