KUALA LUMPUR – Lelaki yang mati ditembak polis dalam kejadian berbalas tembakan di tepi jalan Batu 8, Jalan Banting – Dengkil, Dengkil, Selangor semalam merupakan ketua sindiket samun yang bergiat aktif sejak tiga tahun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, suspek lelaki tempatan berusia 30 tahun berasal dari Sepang itu aktif di Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.
“Semakan mendapati suspek mempunyai 10 rekod jenayah lampau iaitu rekod jenayah samun berkumpulan dan mendatangkaj cedera, pecah rumah dan merusuh.
“Suspek juga mempunyai rekod ‘dikehendaki’ dalam dua kes samun stor penyimpanan barang (tapak projek) di Sepang pada tahun 2024.
“Suspek turut dituduh tanpa kehadirannya di Mahkamah Seysen Shah Alam pada 19 November lalu di bawah Seksyen 39 /397 Kanun Keseksaan dan 377C Kanun Keseksaan.
“Bagaimanapun, mahkamah telah mengenakan tindakan melepaskn tanpa membebaskan (DNAA) terhadap suspek sebelumwaran tangkap dikeluarkan,” katanya dalam sidang media khasi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini hari ini.

Turut dihadiri Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) JSJ Bukit Aman, Datuk Sukri Kaman, Ketua Penolong Pengarah (D9), Senior Asisten Komisioner Muhamad Riduan Manap dan Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman.
Tambah beliau, modus operandi sindiket itu menyasarkan rumah kediaman, tapak projek dan kilang e-waste sebagai sasaran samun dengan bersenjatakan pistol, parang sertang batang besi.
“Siasatan lanjut, sindiket samun ini dipercayai mempunyai lebih 10 orang ahli dan mereka bergiat altif serta agresif melakukan jenayah ini di sekitar Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.
“Kumpulan ini akan mencabut atau merosakan kamera litar tertutup (CCTV) dan memakai topeng muka serta bersarung tangan ketika melakukan jenayah bagi menyembunyikan identiti serta tidak teragak-agak mencederakan mangsa,” jelasnya.

Beliau juga memaklumkan, sebanyak 19 kes samun telah dilakukan sindiket itu dengan Selangor merekodkan 17 kes, dan masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Melaka bagi tempoh 2022 hingga Oktober 2025.
“Jumlah keseluruhan kerugian kes samun ini dianggarkan adalah RM2.5 juta dan polis juga sedang mengenal pasti dan mengesan saki baki ahli kumpulan yang terlibat sindiket ini,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Kumar berkata, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dalam kereta suspek dianggarkan kira-kira 132 gram (g) dan semakan ke atas kereta Myvi dinaiki suspek adalah atas nama seorang wanita namun statusnya masih dalam siasatan.
Berikutan itu katanya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 3 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971, Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan Seskyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Terdahulu, polis menembak mati seorang lelaki dipercayai penjenayah dalam kejadian berbalas tembakan di tepi jalan Batu 8, Jalan Banting – Dengkil, Dengkil, Selangor malam tadi.
Kumar dilaporkan berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Jenayah Berat (D9) JSJ Bukit Aman terserempak sebuah Perodua Mayvi dinaiki seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di kawasan Dengkil pada 8.10 malam tadi.
Katanya, pihaknya bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor dan Cawangan Khas Selangor ketika itu melakukan operasi mengesan dan mencegah kejadian jenayah samun di sekitar kawasan Banting, Dengkil dan Sepang.
“Ketika pasukan serbuan cuba menahan (kenderaan itu), suspek tiba-tiba bertindak melepaskan tembakan dari dalam kenderaan ke arah pasukan polis. Polis kemudian membalas tembakan sehingga tiada ancaman keselamatan.
“Suspek disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan. Hasil siasatan awal mendapati suspek disyaki seorang lelaki warga tempatan, namun tiada sebarang pengenalan diri dijumpai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujarnya, pemeriksaan dalam kenderaan suspek menemui sepucuk senjata api jenis Remington Rand 45, tiga butir peluru jenama ‘kynoch 45’ dalam beg silang jenama Coach dan tujuh paket plastik lut sinar disyaki mengandungi dadah. – MalaysiaGazette
















