TUARAN – Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 pada 29 November ini bakal menyaksikan lebih 1.78 juta pengundi berdaftar melakukan perubahan drastik dalam menjamin pembangunan negeri yang lestari demi kemakmuran rakyat.
Tinjauan MalaysiaGazette di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Dalit mendapati, isu tiga serangkai seperti bekalan air, elektrik dan jalan masih menjuarai keresahan rakyat serta ketiadaan sistem perparitan yang sempurna.
Penduduk Kampung Terayung, Zainuddin Ludin, 47, mendesak supaya satu perubahan drastik dilakukan oleh mana-mana parti politik yang memenangi PRN Sabah ke-17 pada Sabtu ini.
“Kalau BN yang pegang (kuasa), harus ada perubahan, apa pun permintaan rakyat kamu harus tunaikan sama ada jalan raya, elektrik dan bekalan air, tiga perkara ini kamu harus selesaikan seberapa segera,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Zainuddin juga berkata, Kerajaan Negeri Sabah yang bakal dibentuk selepas ini harus menangani masalah banjir kilat susulan ketiadaan sistem perparitan yang sempurna dan jalan masuk ke kampung tersebut yang terlalu sempit.
“Kawasan ini memerlukan perparitan, kalau satu jam hujan sahaja, lepas itu banjir, pembaikan mesti ada.
“Jalan raya keluar masuk dari kampung ini kena dibesarkan, sampai senang kereta boleh limpas, tidak lagi pergi siring, mahu tunggu limpas baru jalan,” katanya.

Bagi Hasdiyah Salleh, 35, isu bekalan air merupakan masalah utama penduduk Kampung Terayung di sini, dan kebanyakan rumah perlu menggunakan pam air elektrik untuk menyelesaikan masalah aliran air yang kecil dan perlahan.
“Bekalan air di Tuaran sangat bermasalah, memang kebanyakan masa bekalan terputus hingga sembilan hari.
“Di kampung ini, majoriti penduduk menggunakan pam air elektrik, bila bekalan air terputus sehingga tujuh hari, pam air akan mengeluarkan tanah.
“Penapis air di dalam rumah pula perlu dicuci seminggu sekali kerana mendapan lumpur menghalang bekalan air bersih untuk masuk ke rumah,” katanya.
Sebagai anak muda, dia melahirkan rasa kecewa dengan wakil rakyat terdahulu, bukan sahaja lompat parti, tidak pernah turun padang mendengar keluhan dan menyelesaikan permasalahan rakyat.
“Kami anak muda mahukan perubahan, lima tahun ini macam tiada perubahan di Kampung Terayung,” katanya.

Sementara itu, Jeffrin Liamat, 56, pula melahirkan rasa kesal dengan sikap bekas wakil rakyat yang tidak mahu membantu pengundi-pengundinya menyelesaikan masalah banjir di kampung tersebut.
“Kalau nak tunggu perubahan, sampai bila-bila tiada perubahan, sebab itu kali ini kita minta perubahan, manalah tahu wakil rakyat baharu boleh membuat sistem perparitan di kampung ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















