PEKAN – Sebuah rumah separuh kekal di Kampung Baru Pulau Serai, di sini musnah terbakar dalam kejadian awal pagi tadi.
Bagaimanpun tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden berkenaan.
Komander Operasi, PBK II (KUP) Mohamad Mizan Zainal berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.31 pagi itu, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Peramu bergegas ke lokasi sebelum tiba pada jam 8.40 pagi, selepas menerima panggilan kecemasan.
“Setibanya di lokasi, api telah marak dan memusnahkan keseluruhan struktur rumah berkeluasan kira-kira 40 x 80 kaki persegi.
“Bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran hos 200 kaki, dua breeching dan empat nozzle, dengan sumber air dari tangki pam jentera serta water tanker,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Operasi turut dibantu BBP Pekan dengan enam anggota dan sebuah jentera FRT.
Kerja-kerja overhaul dijalankan sepenuhnya bagi memastikan tiada punca api yang boleh menyebabkan kebakaran berulang dan operasi terkawal pada jam 9.25 pagi.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. – MalaysiaGazette















