Oleh: Ismail Hashim Yahaya
DALAM landskap politik Malaysia yang semakin digerakkan oleh naratif, persepsi dan simbol, kemunculan ahli perniagaan Albert Tei sebagai watak kontroversi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bukan sekadar episod terpencil; ia merupakan manifestasi bagaimana makna politik dibina, diulang dan digunakan untuk menggugat legitimasi kuasa.
Bagi memahami kedudukan Tei dalam percaturan semasa, kita harus kembali kepada konteks lebih luas yang telah melatari politik Sabah sejak 2023—khususnya krisis ‘Langkah Kinabalu’ yang hampir menjatuhkan pentadbiran Ketua Menteri Hajiji Noor.
Dari sinilah episod baharu ini harus dibaca. ‘Langkah Kinabalu’ merupakan percubaan politik yang didakwa dicatur UMNO dan Warisan untuk menumbangkan kerajaan negeri pimpinan Hajiji Noor. Percaturan itu gagal apabila beberapa wakil rakyat Umno menolak arahan parti dan memilih menyokong Hajiji. Dengan sokongan Pakatan Harapan yang menyusul, pentadbiran GRS–PH menjadi lebih stabil.
Namun kegagalan ‘Langkah Kinabalu’ tidak mematikan pertembungan kuasa. Sebaliknya, ia mewujudkan suasana politik Sabah yang tegang, dengan pihak-pihak tertentu terus mencari celah untuk melemahkan GRS–PH. Dalam peralihan ini, kemunculan Albert Tei pada penghujung 2023 menjadi signifikan bukan kerana isu lesen prospeknya semata-mata lebih jauh lagi kerana naratif yang mula dibentuk. Walaupun lesen prospek beliau dibatalkan atas alasan jumlah permohonan terlalu banyak, Tei membingkainya sebagai ketidakadilan pentadbiran.
Naratif diri sebagai ‘mangsa birokrasi’ inilah yang digunakan untuk memasuki gelanggang politik Sabah, sebuah negeri yang sejak dahulu memiliki sejarah panjang ketidakpercayaan terhadap pusat kuasa. Maka sejak dari awal, Tei tidak hanya membuat dakwaan; beliau membingkai diri sebagai simbol ketidakpuasan terhadap kerajaan negeri.
Jika dibaca dengan teliti laporan media mengenai kenyataan Tei ia merupakan suatu pergerakan naratif dan bayangkan daripada sekadar aduan bermetamofisis kepada simbol politik
Dengan bergambar (jika ini gambar benar) duduk bersama Tun Mahathir, Tei memasukkan dirinya ke dalam orbit simbolik yang jauh lebih besar daripada peranannya sebagai individu yang mendakwa dizalimi pentadbiran negeri.
Pertemuan tersebut, walaupun mungkin atas alasan peribadi atau perniagaan, membawa makna politik yang besar. Dalam semiotik politik Malaysia, Mahathir bukan sekadar individu; beliau adalah ikon penentangan terhadap kerajaan sedia ada—seorang archetype kepada anti-Anwarisme.
Pertemuan itu memberikan tiga makna semiotik penting:
(a)Pengabsahan Naratif
Jika Mahathir sudi bertemu, maka dakwaan Tei tampak lebih serius di mata penyokong anti-establishment.
(b) Penempatan Identiti Politik
Tei kini dibaca sebagai tokoh yang bukan sekadar membawa isu perniagaan, tetapi sebagai sebahagian daripada gelombang naratif yang mahu mencabar kerajaan Madani.
(c) Pemicu Amplifikasi Media Sosial
Kelompok jaringan aktivis anti-kerajaan dengan nama-nama popular segera menggunakan imej dan video pertemuan itu untuk menggandakan serangan naratif terhadap Anwar. Di sinilah semiotik berfungsi—gambar, pertemuan dan masa menjadi tanda yang membuka ruang spekulasi. Naratif yang dibentuk tidak lagi bergantung pada bukti, tetapi simbol. Bolehkah sekeping sekeping gambar menggoncang Sabah? Tun Mahathir memainkan peranan khas dalam struktur makna politik Malaysia.
Beliau adalah:
(a) ikon perlawanan terhadap kerajaan,
(b) simbol kesinambungan didakwa penyelamat umat Melayu,dan (c) figura yang dengan satu imej sahaja mampu memberi konotasi anti-establishment.
Dalam naratif politik kontemporari, Tun Mahathir berfungsi sebagai “penjana legitimasi” bagi sesiapa yang ingin membina imej sebagai pengkritik kerajaan. Maka pertemuan dengan Tei secara automatik mengangkat dakwaan Tei ke paras nasional, memberi ruang kepada imaginasi politik untuk mengembangkan naratif.
Ap yang lebih penting Sabah adalah negeri yang sensitif terhadap isu integriti pentadbiran dan hubungan pusat-negeri. Sebarang tanda bahawa “Putrajaya tidak bersih” cepat meresap ke dalam sentimen pengundi. Dalam konteks PRN yang hampir, simbolisme Tun Mahathir menjadi peluru naratif yang sangat berkesan.
Apa yang lebih membimbangkan ialah sasaran naratif yang mula dituju bukan lagi kerajaan Sabah, tetapi Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri. Tei mendakwa dia memberikan RM629,000 kepada Shamsul atas alasan diyakinkan boleh mendapat kembali wang yang disalurkan kepada ahli-ahli politik di Sabah.
Menurut Tei, dia telah menyusun dokumen setebal lebih 300 muka surat, termasuk tangkapan skrin perbualan WhatsApp dan resit, untuk menguatkan dakwaannya. Antara lain, dia mendakwa membayar untuk pengubahsuaian, perkakas dan perabot untuk dua hartanah — satu di Bangsar, Kuala Lumpur dan kediaman pegawai kerajaan di Putrajaya.
Namun segala gambar dan sebarang bukti transaksi adalah bukti emosi dan naratif sehingga dapat dibuktikan secara undang-undang di mahkamah bukti legal. Namun ia mencipta persepsi, menoreh imej integriti kerajaan, mengaitkan isu kepada Anwar melalui Shamsul, melemahkan moral penyokong Madani menjelang PRN Sabah dan membuka ruang untuk mengatakan “kerajaan Madani sama saja”.
Inilah bahaya semiotik politik digital kerana ia berupaya mengubah tanda menjadi hakikat walaupun tanpa belum dibukti di mahkamah, ia cukup sebagai permainan emosi dan persepi dahulu.
Serangan terhadap individu sedekat itu dengan Anwar merupakan langkah yang sangat strategik kerana ia cuba meruntuhkan tiga modal simbolik kerajaan Madani:
(a) Integriti moral,
(b) komitmen anti-rasuah dan
(c) keupayaan kepimpinan Anwar mengawal lingkaran kuasa terdekatnya.
Dalam perang naratif moden, merosakkan moral kerajaan lebih efektif daripada menyerang dasar. Dalam hubungi dengan membingkai isu ini sebagai skandal yang “berdekatan dengan PM”, lawan hanya perlu mencipta persepsi bukan membuktikan kes.
Sesuatu yang menarik berlaku di sini: naratif tidak menuduh secara langsung, tetapi sengaja dibiarkan kabur iaitu apa yang disebut sebagai naratif terbuka. Naratif terbuka membenarkan khalayak mencipta makna sendiri. Contohnya:
“Kenapa Tei jumpa Mahathir?”
“Apa yang Shamsul tahu?”
“Ada apa-apa disembunyikan?”
Naratif begini jauh lebih berbahaya daripada tuduhan konkrit. Dalam situasi politik Sabah sebagai medan goyah tidak keterlaluan jika dikataan mencipta naratif sebegini adalah lebih berkuasa daripada fakta Politik Sabah tidak pernah bergerak semata-mata pada garis parti.
Ia dipengaruhi oleh:
(a) persepsi terhadap pusat kuasa,
(b) kepercayaan terhadap ketelusan,
(c) sentimen autonomi dan
(d) faktor individu lebih kuat daripada struktur parti.
Maka sebuah naratif kecil yang menggunakan simbol besar seperti Tun Mahathir boleh memberi impak besar kepada kecenderungan pengundi terutamanya pengundi atas pagar. Apa yang Tei lakukan, tanpa atau dengan niat politik, membuka ruang kepada pihak tertentu mencorakkan naratif bahawa:
(a) “GRS–PH tidak bersih,”
(b) “kerajaan Madani rapuh,”
(c) “orang terdekat PM pun goyah”.
Walaupun dakwaan tidak semestinya benar tetapi kesannya terhadap psikologi pengundi tetap signifikan. Dalam suasana naratif yang semakin sengaja dikembangkan, peletakan jawatan Shamsul—Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri merupakan tindakan taktikal yang sangat penting dan tepat pada waktunya.
Ia berfungsi sebagai “firebreak” politik yakni memutuskan hubungan naratif antara isu yang dicetuskan dan institusi Perdana Menteri. Langkah itu menyampaikan tiga isyarat penting:
(a) Memutuskan sambungan institusi
Dengan menarik diri daripada jawatan, Shamsul menghalang lawan daripada mengaitkan isu Tei dengan pejabat Perdana Menteri secara rasmi. Ini mengendurkan naratif “kerajaan terlibat”.
(b) Menunjukkan akauntabiliti cepat
Peletakan jawatan secara sukarela memperlihatkan kerajaan bersedia bertindak sebelum tekanan meningkat atau sebelum siasatan selesai. Ini meredakan sentimen awam yang sering menuntut tindakan segera.
(c) Membuka ruang kepada siasatan bebas
Dengan tiada konflik kepentingan posisi, proses audit, semakan atau siasatan boleh dijalankan tanpa diserang sebagai “cover-up”.
Walaupun langkah itu mempunyai kos simbolik—lawan boleh mentafsirnya sebagai “tanda salah”—ia tetap merupakan jalan paling efektif untuk menutup kitaran naratif negatif yang sedang berkembang. Dalam politik, damage containment lebih penting daripada kesan jangka pendek.
Jika dilihat secara menyeluruh, episod ini bukan sekadar tentang Albert Tei, lesen prospek yang dibatalkan atau pertemuan dengan Mahathir. Ia adalah gambaran bagaimana politik kontemporari Malaysia khususnya Sabah digoncang bukan oleh fakta, tetapi oleh pembentukan makna.
Empat elemen besar kini sedang beroperasi serentak:
(a) Tei sebagai simbol, bukan individu.
(b) Mahathir sebagai ikon konotatif anti-kerajaan dan
(c) Media sosial sebagai pengganda naratif.
Dalam keadaan ini, naratif yang sedang digerakkan bukan sahaja menyasarkan kerajaan Sabah sebaliknya secara langsung cuba menjejaskan kredibiliti kerajaan Madani dan Perdana Menteri menjelang PRN. Pertarungan kali ini bukan tentang polisi atau pentadbiran lebih jauh lagi tentang siapa yang berjaya mengawal makna, persepsi dan simbol.

Penulis adalah pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa















